8:17 PM

FIQH SOLAT JAMAAH

الحمد لله منزل القرءان المجيد
الواحد الأحد المتفرد بالمحاميد
والصلاة والسلام على من أوتي رسالة شرف ومجد
صاحب الحوض المورود واللواء المعقود والمقام المحمود
وعلى آله وأزواجه وأصحابه الأبرار الأماجد
ومن تبعهم الى يوم الدين بالجد والاجتهاد

أما بعد

ISLAM PADA ZAMAN IT



Solat adalah ibadat yang menjadi tali penghubung antara hamba dan Allah SWT,pencipta sekalian alam.Ibadat yang menduduki tangga kedua selepas kalimah syahadah dalam rukun Islam.Ibadat yang menjadi pemisah antara Iman dan Kufur.

Saya rasa tidak perlu lagi untuk diperincikan hukum hakam dan peri pentingnya solat dalam Islam.Rasanya,semuanya telah mengetahui akan kedudukan solat dalam Islam.Dari usia kanak-kanak empat atau lima tahun,mereka sudah biasa dengan senario solat bahkan ada di kalangan mereka yang telah di bawa oleh ibu bapa untuk ke masjid.

Tapi,itu mungkin dulu!

Entahlah buat masa sekarang.Mungkin telah banyak yang berubah dalam masyarakat kita.Sepatutnya sesuatu perkara yang tergolong dalam A B C dan 1 2 3 dalam Islam,yang sedari dulu diketahui oleh segenap lapisan masyarakat,kini hanya menjadi maklumat golongan tertentu sahaja seperti para ustaz ustazah dan golongan veteran.

Aib yang tak terkira rasanya,pada zaman sains dan teknologi,maklumat di hujung jari,zaman manusia meneroka angkasa lepas,umat Islam menjadi semakin jahil dengan asas agama mereka sendiri.

Sesiapa yang pernah terjun ke medan pendidikan anak-anak di sekolah rendah agama,maka mereka akan merasai kelainan yang amat sangat.Seolah-olah kita adalah dua generasi yang berbeza.Guru berumur 20 tahun dan pelajar berumur 12 tahun.Beza masa antara dua generasi ini hanya lapan tahun.Tetapi,jurang perbezaan jati diri,sahsiah,peribadi,kekentalan benteng agama dan ilmu pengetahuan adalah amat ketara sekali.

Anak-anak kecil yang masih belum mengenal alif ba ta,buta jawi dan al-Quran,tidak tahu berwudhu' dan solat secara sempurna pada zahirnya,buta hukum haidh dan hadas besar dan pelbagai urusan asas seorang Muslim dalam hidup ini!


KENAPA?

Kadang-kadang kita bingung dalam memikirkan masalah ini.

Jauh bezanya antara kita dan generasi muda hari ini yang berusia dalam lingkungan belasan tahun.Kita sering berkata dan merungut bahawa generasi aku dulu tidak seteruk ini.

Kenapa?

Di mana silapnya?

Entahlah..

Dunia semakin maju.Sepatutnya dan sewajarnya manusia semakin mengenal Allah dan diri.Seharusnya manusia semakin erat dengan Pencipta.

Jika dahulu,manusia perlu memahami tanda-tanda alam untuk menunaikan solat seperti menentukan arah kiblat dan masuk waktu solat ketika musafir jauh,hari ini,manusia yang hidup dalam serba kemudahan dengan memiliki musalla di R&R,kompas dan sebagainya,merekalah yang paling ramai meninggalkan solat!

Jika dahulu harus dipelajari fiqh tayammum bagi menggantikan air ketika ketiadaan air semasa bermusafir,pada hari ini jugalah,di tempat rekreasi air terjun dan pantai,sekeluarga terlepas solat!

Ya Allah,hanya padamu aku mengadu kelemahan diriku.

Aku hanya nampak satu.

Dalam kemajuan,manusia akan mula lupa diri.Manusia akan jauh dihanyutkan arus kelalaian.Dan aku adalah salah seorang dari mereka.


BEZA DAHULU DAN SEKARANG

Aku masih ingat kisah seorang ustaz kesayanganku yang ingin berpindah balik ke Kelantan setelah lama berkhidmat di ibu kota.

Katanya,beza kita dengan generasi sekarang terlalu jauh.

Jika dahulu,kita hidup dengan fitrah dan alam,tapi sekarang mereka hidup dalam suasana yang merosakan fitrah mereka.

Jika dahulu,mainan petang-petang kita ialah mandi sungai,galah panjang,baling tin dan lain-lain,tapi mereka pada hari ini mainan mereka adalah internet yang di dalamnya tersimpan jutaan kerosakan.



Jika dahulu,waktu maghrib adalah waktu untuk mengaji al-Quran dan waktu haram untuk berada di depan TV,maka hari ini,waktu malam adalah waktu tuisyen,kelas tambahan dan menonton TV.

Dan yang besar bezanya,ibu bapa kita,tok nenek kita,guru-guru kita adalah mereka yang kita kenali dulu.Namun generasi hari ini,ibu bapa mereka dan guru-guru mereka adalah kita!

Kita generasi pertengahan yang hidup dua alam,kita juga semakin tercemar fitrah dan iman kita.

Hasilnya,kita boleh lihat hasil didikan kita!


APA KAITAN DENGAN SOLAT JAMAAH

Saya tidak ada mood untuk menulis masalah ini secara ilmiah seumpama menulis thesis.

Saya hanya ingin nyatakan kesimpulan dan pengajaranya sahaja.Agar ia santai dan pendek,tetapi memberi kesan pada hati untuk takut pada Allah SWT.

Rata-rata kita mengetahui bahawa solat fardhu berjamaah adalah fardhu kifayah atau sunnat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Jadi,kesimpulan mudah ialah,jika ia fardhu kifayah maka,kalau dah ada yang buat maka aku dah tak payah buat.Jika ia sunnat muakkad,lagi la tak payah buat.Bukan berdosa pun!

Inilah yang difahami oleh rata-rata masyarakat Malaysia yang bermazhab Syafiie.

Adapun bagi Mazhab Hanbali,solat secara berjamaah adalah fardhu 'ain iaitu wajib ke atas setiap individu.Maka,sesiapa yang tidak solat berjamaah tanpa sebarang uzur,maka mereka adalah berdosa!

Saya tidak berminat untuk mengulas hukum sunat atau wajib.

Kenapa?

Terlalu ramai yang tahu solat itu wajib pun,masih lagi tidak menunaikan solat.

Status hukum sudah tiada gunanya,jika hati telah mati.


NASIHAT BUAT GENERASIKU

Generasiku yang sedang menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa hari ini,ayohlah sama-sama kita koreksi balik diri kita.

Kita telah meninggalkan saranan Rasulullah SAW untuk menghubungkan diri kita dengan rumah Allah SWT.Di sanalah sumber hidayat dan petunjuk.Seumpama lampu untuk menyuluh jalan hidup kita dan generasi anak-anak kita.

Jika petunjuk itu kita abaikan,demi Allah,kita akan hilang arah dan tujuan.

Usah kalian ingat,dunia ini kita bisa corakkan sesuka hati kita.

Jika terputus hubungan kita dengan Allah,rumah-rumahNYA,dan petunjuk Rasulullah SAW dalam menunaikan ibadah terutamanya solat berjamaah,maka nantikanlah,keruntuhan tanah air kita dan anak bangsa kita di bawah didikan kita!

Aku yang masih berusaha ke arah membaiki diri di taman asuhan ILAHI..

Ya Allah,pimpinlah aku dan teguhkan aku di atas petunjukMu dan RasulMU..

Amin,ya Rabbal 'Aalamin.

0 comments:

Post a Comment