KURNIANMU TUHAN,TAK KUNJUNG PADAM
Seringkali diri ini melanggar batasan Tuhan.Kerapkali juga jiwa ini melambat-lambatkan taubat dan istighfar.Namun Dia,Rabb Yang Maha Pengasih dan Penyayang,rahmat dan rahimNYA tak pernah luput dan padam.
Benarlah ulangan pertanyaan Allah SWT terhadap jin dan manusia sebanyak puluhan kali dalam surah al-Rahman " Dan nikmat Tuhanmu yang mana lagikah yang ingin kau dustakan wahai jin dan manusia? "
Tiada lafaz selain alhamdulillah yang dapat menggambarkan segala rasa bertuah dan syukur.
Allahumma laka al-hamdu wa al-minnah fi awwalihi wa aakhirihi.
HASRAT ASAL KEMBARA KE DATARAN SYAM
Dataran Syam adalah tanah berkat.Bumi para ulama'.Terkenal dengan tokoh umat sepanjang zaman dan kurun.Ahh..Jika ingin dihitung,tak akan mampu untuk disebutkan satu persatu nama tokoh umat sepanjang empat belas kurun hijriah ini.
Jika disebut Faqih al-Syam dan Syaikh al-Islam di dataran ini,maka nama al-Imam al-Auza'ie pasti akan terlintas di benak.Begitu juga nama sehebat al-Hafiz Ibn al-Solah,pengarang Muqaddimah Ibn al-Solah yang sangat terkenal dalam bidang ulum hadith.
Begitu juga madrasah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.Nama ini akan harum sepanjang sejarah.Walaupun pelbagai nista dilemparkan atas namanya.Fitnah direka-reka semasa hidup dan matinya untuk menjatuhkan kredibilitinya.Namun,hanya Allah sahaja tempat mengadu.Madrasah Syaikh al-Islam adalah madrasah yang tersangat hebat dan unik.Bahkan secara peribadi,ia lebih hebat berbanding Madrasah 'Iraqiyyah yang dipelopori oleh Imam al-'Iraqi.
Ini kerana,salasilah tokoh ummat sehebat al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (salah seorang tokoh terkemuka madrasah 'iraqiyyah) juga tidak terlepas hubungannya dengan madrasah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Nama-nama hebat seperti Syaikh al-Islam,al-Mizzi,Ibn al-Qayyim,al-Zahabi,Ibn Kathir,Ibn Rajab,Ibn 'Abd al-Hadi dan selain mereka,adalah pemuka dan tokoh madrasah ini.Jika hendak ditulis satu persatu,nescaya tangan ini akan minta kasihan untuk berhenti walau belum sempat satu peratus yang ditulis.
Kembaraku juga,asalnya dan hasratnya adalah untuk menjejaki baqaya ahli 'ilmi yang masih ada di Dataran Syam.Ia juga adalah kesinambungan dari madrasah Syaikh al-Islam (sejauh pengamatanku).
ULAMA' RABBANI DARI BUMI JIHAD PALESTIN
Dr. Hammam Said adalah nama yang tidak asing lagi bagi para pelajar agama.Tak kira mana satu aliran kecenderungannya.Samaada ia bersifat aliran hadith ataupun aliran haraki Ikhwan Muslimin.
Anak asal tanah bergolak Palestin ini,lebih aku sukai untuk aku kenalinya melalui bidang hadith.Hasil keluaran menara ilmu,universiti tertua dunia iaitu al-Azhar al-Syarif.Master dan PhD nya adalah dalam bidang hadith di sana.Disertasi PhD nya yang ulung,telah menjadi rujukan seluruh pengkaji hadith dunia dan telah menjadi muqarrar pengajian 'ilal al-hadith di seluruh universiti yang menawarkan pengajian hadith.Samaada ia muqarrar asas atau bahan rujukan asas,yang pentingnya,tidak akan ada seorangpun yang benar-benar ingin mendalami 'ilal hadith kecuali dia akan melihat kepada disertasi ini.
Syarah 'Ilal al-Imam al-Tirmizi oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali.Itulah nama manuskrip yang ditahqiq dan telah didahului dengan satu kajian (muqaddimah) yang sangat panjang dan bermanfaat.Sehinggakan para ulama' yang datang selepas Dr. Hammam,menyifatkan bahawa kajiannya adalah Qasab al-Sabq (semisal Fatih/Pelopor) pada zaman ini.Ulama' yang datang selepasnya juga bergantung harap pada kajiannya.
Lihat sahaja Muqaddimah 'Ilal Ibn Abi Hatim oleh Syaikh Sa'ad al-Humaid.Juga taqdim Syaikh Ahmad Ma'bad 'Abd al-Karim terhadap kitab Marwiyyat al-Zuhri al-Mu'allah Fi 'Ilal al-Daarquthni.Semuanya memuji hasil kerja yang sangat besar ini untuk bidang hadith.Sehinggakan tokoh hadith seperti Dr. Bassyar 'Awwad menyatakan bahawa kajiannya ' La Yusbaq Wa La Yulhaq' iaitu tidak pernah didahului sebelumnya dan tidak lagi dapat di atasi selepasnya.
Jazahullahu khairan kathiran 'anil Islam wal muslimin.
ULAMA' UMMAH TANPA ERTI LETIH
Walaupun menyandang jawatan Muraqib 'Am Ikhwan al-Muslimin di Jordan,beliau masih lagi sempat menghasilkan kitab-kitab berkaitan hadith Rasulullah Yang Mulia.Projek penyusunan semula hadith-hadith nabawi mengikut topik (lebih dikenali sebagai ajza' hadithiyyah di sisi ahli hadith) tetapi mengikut nafas baru sesuai untuk anak-anak zaman ini.Hasil pertama dari projek ini ialah Ensiklopedia Hadith Tanda-Tanda Kiamat.Kitab ini,telah dihadiahkan oleh Dr.Hamam kepada saya.Ia sebuah kitab yang sangat elok.Manhajnya jelas.Hadith-hadith di susun mengikut tajuk yang baik dan cantik.Tidak lupa takhrijnya dan hukuman terhadap status hadith.Juga syarahan terhadap hadith sekadar perlu diberikan.
Walaupun kesibukan adalah rutin harian Dr.Hammam sebagai Muraqib 'Am,namun masanya tetap diberikan di Markaz Dirasah al-Sunnah al-Nabawiyyah.Para ulama' tetap dengan dakwat dan helaian kitab mereka.Namun,pada masa yang sama,mereka adalah milik ummat.Sebab yang demikian,mereka tidak pernah memencilkan diri dari dari ummat.Mereka tetap terjun ke gelanggang.Dan bagi yang mengenali Ikhwan Muslimin di Tanah Arab,mereka sahaja yang tahu,betapa bahaya dan berdurinya gelanggang itu!!!