ASYURA DAN TANGISAN
Artikel kali ini tidak ingin saya panjangkan tulisannya.
Saya akan terus membincangkan dalil-dalil yang di bawa oleh Dr. Faisal demi menyokong upacara 'Asyura yang saban tahun dirayakan oleh Syi'ah Rafidhah yang telah menyimpang dari landasan al-Quran,Sunnah Rasulullah SAW dan petunjuk Ahli Keluarga Rasulullah SAW yang mulia.
Berdasarkan tulisan ini,maka akan jelaslah kedangkalan ilmu hadith dan tafsir Dr. Faisal Tehrani dan bagaimana beliau hanya mengambil frasa-frasa yang menyokong bid'ah dan dakyahnya sahaja dan pada masa yang sama meninggalkan frasa-frasa lain yang bakal menyembelih tengkuknya sendiri!
KAMI KATAKAN 'YA' PADA MENANGIS
Ayat-ayat al-Quran yang dibawa oleh Dr. Faisal tidak kami ragukan lagi.Bahawasanya tangisan kerana memikirkan kalam Ilahi,tidak dapat menyertai jihad kerana tiadanya kelengkapan perang seperti kenderaan,mengenangkan dosa silam dan sebagainya,adalah dituntut oleh Islam.
Ia menjadi petunjuk bahawa hati seseorang individu itu masih mempunyai sekelumit iman.Masih ada dalam hatinya rasa takutkan Allah,pembalasan hari kiamat dan neraka yang disediakan Allah SWT untuk hamba-hambanya yang kufur dan menderhaka kepadaNYA.
Beliau juga membawa kisah Nabi Ya'qub alaihis salam yang menangisi anakanda Baginda iaitu Nabi Yusof alaihis salam sehinggakan buta kedua-dua belah matanya.
Ingin ditanya kepada Dr. Faisal,di bahagian manakah ayat-ayat al-Quran ini yang menunjukkan bahawa tangisan tersebut disertakan dengan teriakan,meratap meraung dan sebagainya yang seringkali dilakukan oleh golongan Syi'ah Rafidhah?
Jawapan yang pasti ialah TIADA!
Dr. Faisal yang kononnya berhujjah dengan al-Quran untuk menggalakkan tangisan,beliau juga sebenarnya yang lupa bahawa Syia'ah Rafidhah yang telah meninggalkan ajaran al-Quran dengan cara menokok tambah tangisan tersebut dengan upacara-upacara yang tak jauh bezanya dengan perayaan Hindu di Batu Cave!
Bahkan dalam kisah Nabi Ya'qub alaihis salam,siapakah yang mengatakan bahawa Baginda menangisi seorang insan yang telah meninggal dunia?
Bahkan Nabi Ya'qub alaihis salam mengetahui bahawa puteranya masih bernafas melalui wahyu Allah SWT.Sesiapa sahaja yang mendalami tafsir surah Yusuf akan memahami isi kandungan surah tersebut dan apa yang saya sampaikan ini.
ANALISA HADITH-HADITH YANG DIJADIKAN HUJJAH OLEH DR.FAISAL
Sebagaimana artikel-artikel yang lepas,Dr. Faisal masih lagi tak jemu-jemu untuk mengemukakan dalil hadith dari kitab Ahli Sunnah.
Kononnya,melalui cara ini,beliau berjaya membuktikan bahawa tradisi meratap dan meraung ini ada juga dalam tradisi dan sumber-sumber muktabar Sunni sendiri.
Dan akhirnya,beliau menuduh kita zalim terhadap Syi'ah kerana kita tidak mengkaji sesuatu isu secara telus bahkan secara membabi buta menuduh Syi'ah tanpa bukti yang jelas dan kukuh!
Alangkah dangkalnya kesimpulan yang dibawa.
Sebagaimana yang diketahui,Dr. Faisal bukanlah seorang graduan bahagian tafsir ataupun hadith.Oleh yang demikian,memang jelaslah bahawa Dr. Faisal tidak dapat membezakan sumber rujukan primer atau sekunder bagi kedua-dua bidang pengajian Islam ini.
Bahkan nama-nama kitab yang disebutkan oleh beliau juga menunjukkan kepincangan beliau dalam meneliti peringkat dan keabsahan sesuatu rujukan.Apatah lagi untuk beliau memahami metodologi penulis kitab berkenaan.
Jika kedudukan sesuatu kitab dan metodologi penulis tidak difahami dengan baik,maka mana mungkin isi kandungan kitab dapat dihidangkan di kalangan pembaca dengan kefahaman yang betul dan jelas.
Hadith yang dinilai dhaif oleh para pengkritik hadith telah disembahkan kepada pembaca sebagai sahih dan dijadikan hujjah!
Alangkah pincangnya ilmu beliau sehingga saya tertanya-tanya,apa guna ijazah kedoktoran yang ada?
Saya tidak marah jika beliau mahu menulis tentang Ahmadi Nejad atau Iran.
Tetapi jika ingin menulis tentang Islam,ingin saya katakan padanya 'HORMATILAH PENGKHUSUSAN ILMIAH!'
(A) Beliau membawa dalil hadith Rasulullah SAW yang bersumber dari hadith Anas Ibn Malik semasa kewafatan anak Baginda SAW iaitu Ibrahim r.anhu.
Jika diteliti hadith riwayat al-Bukhari itu (no.1303) maka kita akan dapati kenyataan Rasulullah SAW iaitu " Kita tidak akan menyebut/mengatakan sesuatu kecuali yang meredhakan Tuhan kita."
Frasa ini seharusnya diberikan penekanan oleh kita semua.
Frasa ini seharusnya dilihat bersama dengan sebuah lagi hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang juga bersumber dari hadith Abdullah Ibn Umar (no.1304) dan juga oleh Imam Muslim (no.924) iaitu 'Allah SWT tidak akan mengazab seseorang itu disebabkan tangisan ataupun kesedihan hati.Tetapi Allah SWT akan mengazab disebabkan ini (maka Rasulullah SAW menunjukkan kepada mulutnya) dan begitu juga Allah akan mengazab seseorang yang berdoa dengan doa jahiliah.'
Berdasarkan dua hadith di atas,dapatlah difahami bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar kita mengelak menghadapi kematian sebagaimana orang jahiliah menghadapi kematian samaada dari segi percakapan ataupun perbuatan.
Tradisi arab jahiliah semasa menghadapi kematian adalah dengan terpekik terlolong,meratap,meraung,memukul badan dan menaburkan pasir dan debu tanah di atas badan.
Perkara ini semuanya telah dilarang oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadith-hadith yang sahih.Adapun saranan al-Quran ialah agar kita mengucapkan istirja' iaitu ' Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un.'
(B) Dr. Faisal juga telah membawa dalil hadith dari Musnad Imam Ahmad yang menceritakan kesyahidan Hamzah r.anhu di Uhud.
Dalil yang kedua ini menunjukkan kepincangan dan kebejatan Dr. Faisal dalam mengemukakan dalil.
Maaf di atas kekasaran bahasa saya!
Masakan saya tidak marah apabila hadith tersebut dipotong bahagian yang penting yang bakal memancung batang leher Syiah Rafidhah!
Alangkah kejinya sifat tidak amanah dalam menukilkan hadith Rasulullah SAW dan kalam ahli ilmu.Inilah Syiah zaman berzaman.Hidup dengan pendustaan!
Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh para ulama' hadith seperti berikut :
(a) Imam Ahmad telah meriwayatkan hadith kesyahidan Hamzah r.anhu dan tiadanya sesiapapun yang menangisi Hamzah r.anhu melalui 3 jalan yang semuanya bersumber dari jalan Usamah Ibn Zaid daripada Nafi' daripada Ibn Umar r.anhum.(no.4984,5563 dan 5666).{penomboran adalah edisi Syaikh Syuaib al-Arnauth,al-Risalah)
(b) Abu Ya'la al-Musili telah meriwayatkan hadith tersebut juga dari jalan Usamah Ibn Zaid dan dari jalan Anas Ibn Malik.(no.3610){penomboran adalah berdasarkan nota kaki Tanqih al-Tahqiq,edisi Adwa' al-Salaf}
(c) Ibn Majah telah meriwayatkan hadith ini juga melalui jalan Usamah Ibn Ziad.(no.1591) {penomboran edisi Dr.Bassyar 'Awwad,Dar al-Jail}
Sealain daripada tiga ulama' ini,masih terdapat tokoh-tokoh hadith yang lain yang memuatkan hadith ini dalam kitab-kitab mereka seperti al-Tahawi,Ibn Abi Syaibah dan lain-lain tetapi semuanya adalah bersumber daripada jalan Usamah Ibn Zaid daripada Nafi' daripada Ibn Umar r.anhuma.
Secara amanah ingin dinyatakan di sini bahawa para ulama' hadith berselisih pendapat tentang status hadith ini antara yang mendhaifkan dan yang menghasankan hadith ini.
(1) Antara yang mendhaifkan hadith ini ialah al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah dan Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq.
Mereka mendhaifkan hadith ini kerana ia bersumber dari Usamah Ibn Zaid.Ibn al-Jauzi berhujjah dengan kata-kata Imam Ahmad bahawa Usamah meriwayatkan hadith-hadith yang mungkar dari Nafi'.Yahya Ibn Said al-Qattan juga meninggalkan hadith Usamah.Dan Usamah di sisi mereka adalah dhaif.{ms 679,670,jil 2,tanqih al-Tahqiq,edisi Adwa' al-Salaf}
(2) Majoriti ulama' hadith menghukum hadith ini sebagai Hasan.Mereka adalah seperti Syaikh Ahmad Syakir dan Syaikh Syuaib dalam tahqiq al-Musnad,Syaikh al-Albani dan Syaikh Bassyar 'Awwad dalam tahqiq Sunan Ibn Majah.
Ini,kerana pada mereka Usamah Ibn Zaid dinilai sebagai 'hasanul hadith' (hadithnya hasan) dengan syarat beliau tidak menyalahi riwayat perawi lain yang lebih terpercaya (thiqah).
Apapun,jika hadith ini dhaif maka ia tidak boleh dijadikan hujjah.
Jika hadith ini sahih (dan ini adalah pendapat yang lebih tepat) maka ia juga menjadi pedang tajam buat membongkar jenayah ilmiah Dr. Faisal!
Bagaimana?
Beliau telah menterjemah kenyataan Rasulullah SAW iaitu ' Hamzah,tiada seorang pun yang menangis untuknya. ' melalui satu sudut yang lain iaitu seolah-olah Rasulullah SAW menyuruh para wanita tersebut menangis untuk Hamzah.Ia juga mengandungi isyarat bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kita agar menangisi pejuang Islam.
Apapun tafsiran beliau,kenapa disembunyikan penghujung hadith tersebut?
Dalam hadith yang sama Rasulullah SAW telah terganggu tidurnya pada malam itu kerana suara tangisan para wanita ansar itu.Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan agar mereka disuraikan dan Baginda melarang umat Islam untuk menangis lagi atas kematian seseorang selepas itu (yang melebihi batasan yang dibenarkan syarak).
Nah,lihatlah nilai amanah Dr.Faisal!
Dan dalam masa yang sama,ketika sampainya berita tangisan ahli keluarga Ja'far setelah syahidnya beliau,Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan mereka agar mereka ditegah daripada menangis.Setelah diberitahu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka tidak berhenti,maka Rasulullah SAW telah memerintahkan agar disumbat tanah ke dalam mulut mereka.
Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari (no.1299) dan al-Nasaie (no.1846) melalui hadith 'Aisyah r.anha {penomboran berdasarkan edisi al-durar al-saniyyah}
Nah,lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam masalah tangisan ini.
Hadith wanita Ansar menangis itu adalah selepas perang Uhud.Pada hari yang sama juga Rasulullah SAW telah menegah dari menangisi si mati secara berlebihan.Dan syahidnya Ja'far,Abdullah Ibn Rawahah dan Zaid Ibn Harithah adalah dalam peperangan Mu'tah yang berlaku lama selepas itu.Dan Rasulullah masih lagi bertegas agar jangan ditangisi secara melampau.
Nah,di manakah amanah Dr. Faisal?
(C) Adapun hadith Fatimah r.anha menangisi Ja'far r.anhu dan sabda Rasulullah SAW bahawa seharusnya ditangisi kematian insan seperti Ja'far maka hadith tersebut telah disebut oleh Imam al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir (no.5465).
Lafaz tersebut telah dirawayatkan oleh Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (6666/550/3) dalam menceritakan kisah syahidnya Ja'far r.anhu.
Namun hadith itu dinilai dhaif oleh Syaikh al-Albani kerana seorang perawinya adalah majhul.
(n0. 3883,jil 8,ms 340,edisi matabah al-ma'aarif).
Dalam masa yang sama,hadith ini bertentangan dengan riwayat al-Bukhari dan al-Nasaie di atas yang melarang ahli keluarga Ja'far daripada menangisi beliau.Bagaimana mungkin,di sini Rasulullah SAW menggalakkannya pula.
Bagi para pelajar hadith,semata-mata di sebut Musannaf Abd al-Razzaq,dia sudah tahu cerita yang berkaitan dengan riwayat-riwayat sebegini dalam kitab tersebut.Di sini bukan perbahasannya.
Menyembunyikan apa yang bakal meruntuhkan bid'ah puak Syiah Rafidhah kesayangannya!
(D) Adapun riwayat bahawa 'Aisyah r.anha meratapi kematian ayahnya iaitu Abu Bakr r.anhu,maka ingin dinyatakan di sini,dari perkataan manakah diterjemahkan perkataan 'meratap'.
Dalam riwayat-riwayat tersebut yang ada ialah kalimah 'yabkiina' iaitu mereka menangis.Terjemahan nya ialah menangis dan bukannya ratapan seumpama ratapan jahiliah.Tambahan pula,apabila perkara itu (menangis beramai-ramai di rumah Abu Bakar) diketahui oleh Umar r.anhu,maka Baginda telah meleraikannya.Ini menunjukkan bahawa Baginda sedang melaksanakan perintah Rasulullah SAW agar tidak ditangisi si mati apatah lagi berhimpun untuk menangisinya sebagaimana dalam hadith syahidnya Ja'far di atas.
(E) Riwayat al-Tirmizi bahawasanya Ummu Salamah telah bermimpi didatangi Rasulullah SAW dalam keadaan berdebu janggut dan rambutnya kerana kematian Husain r.anhu,maka telah dijelaskan sebelum ini.Hadith itu didhaifkan oleh Imam Tirmizi sendiri dalam kitabnya.
Di manakah amanah ilmiah wahai Dr. Faisal?
(F) Adapun ayat Surah al-Zaariyat itu,ingin ditanya,dari kalimah manakah ia menunjukkan perbuatan memukul mukanya itu berulang-ulang?
KESIMPULAN
Akhirnya,jelaslah kepincangan Dr. Faisal dalam mengemukakan dalil dan meneliti uslub bahasa Arab dalam memahami dalil.
Beliau tidak bisa mengkaji rentetan sesuatu peristiwa untuk menentukan yang mana dahulu dan yang mana kemudia.Ilmu ini penting untuk mengetahui hukum hakam yang paling akhir yang dititahkan oleh Rasulullah SAW.Ilmu inilah yang dipanggil ilmu nasikh dan mansukh.
Beliau juga buta ilmu Usul Fiqh dalam memahami dua topik penting iaitu perbahasan :
(a) Keabsahan fatwa,kenyataan dan perbuatan seseorang sahabat
(b) Keabsahan syariat orang terdahulu (dalam kes ini ialah perbuatan Sarah dan Nabi Ya'qub alaihis salam)
Akhirnya,nasihat saya buat diri saya dan semua,berpegang teguhlah pada al-Quran dan al-Sunnah.Jauhkanlah diri kalian dari syubhat Syiah Rafidhah yang menyeleweng.Doakan hidayat untuk kita dan mereka.
Ameen..