Ibadat tanpa qasad tidak akan menjanjikan apa-apa.Ia adalah rutin yang memenatkan.Rutin yang membebankan,rutin yang menyemai rasa benci tanpa sedar.Ia tidak lagi menjadi tali penghubung antara hamba dan Ilah Yang Maha Rahman dan Rahim.Bahkan ia telah bertukar rupa berubah wajah menjadi barah yang sangat digeruni dan ditakuti.Ad-din bukan lagi umpama air hujan yang menyuburkan tanaman di lembah.Ad-din telah dimomokkan persis hujanan api azab yang dilontar menjarah kaum yang derhaka pada Tuhan.
Aku hairan.Aku keliru.Aku celaru.
Hidayah agama dan ilmu nubuwwah pernah diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w seumpama hujan yang lebat.Lebatnya bukan membawa bencana.Lebatnya bukan mencalar bahagia.Lebatnya adalah pada merealisasikan sebuah kehidupan.Ia adalah anugerah kehidupan buat tanah yang kering kontang dan kegersangan.Justeru,sekaligus menjadi anugerah yang sangat berharga dan tak ternilai untuk seluruh jagat raya ini.Ia adalah rahmat untuk insaniat.Ia adalah barakah untuk seluruh kainat.
Namun,ad-din yang menjadi nyawa bagi insaniat telah dicalar rupanya,telah diconteng wajah putih sucinya.Ad-din yang pada suatu ketika dulu,telah disirami dengan darah syuhada' dan airmata tangisan sang yatim,kini telah kelayuan.Ia semakin longlai menunduk hampir tersungkur di atas lembaran sejarahnya yang penuh dengan kegemilangan.Ia kini dihujum dan diperangi dari segenap arah dan jihat.Dari sekecil-kecil urusan sehingga tangan-tangan khianat itu semakin berani mencorak makar pada Al-Kitab dan Al-Hikmah.Mukjizat nabawi terlebih dahulu membongkar khabar,bahawa tangan-tangan khianat itu adalah dari bangsa kita sendiri.Lisannya fasih menuturkan pekat dialek dan loghat kita.Mereka adalah gunting dalam lipatan.Bahayanya adalah ibarat api dalam sekam.Ad-din dibunuh atas nama ad-din.Alangkah besarnya bahana apabila kalimah al-haq ditafsirkan untuk membaja batil.Alangkah bejatnya kemusnahan apabila ad-din dianggap barah yang mengundang ajal dan selain dari ad-din itu dijunjung,ditatang dan di arak umpama Maharaja tujuh benua.
MA'AL HIJRAH
Ibadat tanpa qasad tidak akan memacu perubahan.Ibadah tanpa niat akan menambah hitam wajah ad-din yang sedia kelam.Ibadah tanpa hisbah hanya mengundang celaru yang berpanjangan.Akhirnya,ia menjadi ritual yang membosankan atas nama ad-din.Generasi celik serba serbi ini,suatu hari nanti tidak akan teragak-agak untuk menanggalkan pakaian ad-din.Mereka akan lebih selesa,senang dan bebas dari segala kerumitan rutin harian agama nenek moyang mereka.Maka,riddah akan memukul gendang di seantero benua.Riddah yang mana Musailamah al-kazzab bermaharajalela tanpa ada seorang Abu Bakr al-Siddiq untuk memeranginya.
Inilah nasib setiap sambutan hari kebesaran Islam.Namakan apa sahaja ia.Ma'al Hijrahkah ia.Maulid al-Rasulkah ia.Nuzul al-Qurankah ia.Namakan ia apa sahaja.Ia hanya menjadi ritual yang mengasyikkan jika hisbah,niat dan qasad tidak memandu arah.Ia hanya hari libur untuk bersuka ria.Ia adalah hari untuk diisi dengan cuti-cuti balik kampung ataupun melakukan tawaf qudum,rukun dan ifadhah di pusat membeli belah.Ia adalah sambutan pada jasad yang sudah kaku tidak berhembus nafas,tidak berdenyut nadi.Ruhnya telah jauh benar ghaibnya.Nyawanya sudah lama benar terputus helaan nafas.Sambutan atas nama ad-din yang jauh amat dari prinsip dan tuntutan ad-din.
Agak biadap jika sambutan hari-hari kebesaran Islam kita bakulkan sekali dengan sambutan krismas ataupun tahun baru cina.Diksinya amat kasar.Bunyinya amat pedih.Namun hakikat adalah satu.Semuanya adalah sambutan yang jauh dari mengingati Allah sebagai Ilah dan Rasul yang diutuskan adalah sebagai qudwah penunjuk jalan.Lihat sahaja pada sunyinya rumah Allah lewat malam-malam Ramadhan al-Mubarak walaupun umat Islam masih lagi di fasa yang pertama.Lihat sahaja pada gegak gempitanya lorong-lorong dan gedung-gedung jualan pada sepuluh malam akhir bulan yang mana malam Qadarnya adalah lebih baik dari seribu bulan.Lihat sahaja pada suram dan kelamnya Idul Adha.Jika ia suram tanpa bunga api dan segala kuih muih,pakaian baru dan sambutan ekstravaganza,hati ini masih mampu meraikannya dengan penuh rasa syukur dan rahmat.Tapi,jika keizzahan dan kebesarannya telah mati sumbunya dari hati umat ijabah ini,maka apakah lagi yang tinggal untuk Khair Ummah ini?
TAQWIM HIJRI VS TAQWIM MASIHI
Aku harap,coretan rasa aku kali ini,menjadi satu usaha kecil yang akan dipandang oleh Allah s.w.t. Kenapa aku mulakan dengan prakata merangkap muqaddimah yang panjang lebar? Kenapa aku mulakan dengan memberi suntikan sedar akan peri tidak berharganya ibadat tanpa qasad? Kenapa aku berhempas pulas menerawang serata alam untuk membuka minda bahawa ad-din ini telah sarat disuap dengan makar jahat yang berpunca dari anak bangsa dan bahasa kita sendiri?
Jawapannya adalah tersangat mudah tapi ia tersembunyi umpama mutiara di dasar lautan.Lantaran ia amat bernilai,hanya sebuah tekad yang terpacak tegap mampu untuk membawa mutiara tersebut dari kegelapan yang berbalam hitam untuk melihat indahnya senyuman sang suria.
Sambutan Ma'al Hijrah hanya tinggal pada majlis dan protokol rasmi.Ia seumpama Muslim yang punyai nama Muhammad atau Abdullah.Ia seumpama al-Tanzil yang cuma tinggal cantuman huruf tanpa sebarang manifestasi.Tidak pada nilainya dan juga tidak pada perundangannya.Ia hanya sambutan ritual tahunan tanpa ada hadaf yang jelas,tanpa ada langkah yang dihayun ke arah sebuah pembaikan.
Sambutan Ma'al Hirah yang kononnya atas nama ad-din hanya tinggal jadi batu loncatan untuk semakin jauh dari ad-din.Dengan sedikit sambutan yang disiarkan di sana sini,sudah cukup untuk menjadi justifikasi paling konkrit bahawa mereka adalah jaguh dalam memartabatkan ad-din.Bagi yang tak terlibat dengan sambutan rasmi,ia adalah hari libur yang dinanti-nanti.Ia buat mengisi segala perancangan yang telah diatur sebelum ini.
Sambutan Ma'al Hijrah bagi generasiku pula,aku hampir yakin,bahawa nilainya hanyalah seperti cuti hari natal atau tahun baru cina sahaja.aku amat yakin.Kerana pengalaman adalah guru yang terbaik.
Aku tidak maksudkan semua umat Islam khususnya di Malaysia mengimani persepsi yang sama terhadap Ma'al Hijrah.Masih wujud segelintir dari kalangan mereka yang punyai kesedaran dan alangkah sedikitnya bilangan mereka.
Kenapa aku nampaknya sekeras ini?
Apakah corak perlawanan sengit antara taqwim hijri dan taqwim masihi?
Apakah signifikannya?Apakah implikasinya?
Ia seolah perkara remeh-temeh yang sengaja mahu digembar-gemburkan.
Demi Allah,ia adalah serangan yang maha dahsyat.Umat Islam telah bergelimpangan mati di medan tempur rahsia ini.Umat Islam umpama roh yang berkeliaran dengan sangkaan bahawa mereka masih menghirup oksigen di alam nyata.Tidak!!Umat ijabah ini telah mati bergelandangan tanpa nisan.Inilah hakikat yang memeritkan.Inilah hakikat yang menyakitkan.
Setiap individu dari umat ini dan segenap lapisan masyarkatnya telah mengkuburkan taqwim hijri tanpa nisan kecuali jiwa-jiwa yang masih bernaung di bawah lembayung rahmat Ilahi.Mereka hanya ingat tarikh 1 Muharram,1 Ramadhan dan 1 Syawal.
Alangkah besarnya bala yang melanda.Alangkah durjananya bencana yang melanda.
TAQWIM HIJRI DAN HAKIKAT UBUDIAH SEORANG MUSLIM
Kita hanya menyedari peri penting taqwim hijri untuk menentukan awal Ramadhan dan awal Syawwal.Itu sahajakah fungsi taqwim hijri yang berorientasikan bulan?
Sesungguhnya,musuh telah berjaya mensiat-siat jasad umat ini,sedari mereka mula meninggalkan taqwim hijri.Satu hakikat yang tiada duanya iaitu umat ini hanya punyai satu taqwim yang menjadi paksi ubudiahnya pada Ilahi.
Ia bertitik tolak seawal zaman balighnya.Jika tidak melalui mimpi atau keluarnya darah tabi'i bagi perempuan,maka pengiraan baligh adalah berdasarkan umur.15 tahun untuk lelaki dan 9 untuk perempuan.Bermulanya arahan pada ayah ibu agar mendidik anak bersolat juga berkait rapat dengan umur iaitu 7 tahun.
Sudah menjadi perkara yang diketahui umum bahawa seseorang individu akan punyai dua umur jika dilihat dari dua taqwim yang berbeza.Sesuatu yang pasti ialah umur melalui taqwim hijri adalah lebih cepat berbanding umur melalui tahun masihi.Semakin meningkat besar seseorang individu,maka semakin besar jurang antara dua umur.Cuba kita bayangkan,berapa lama ibu dan ayah menanggung dosa tidak memerintahkan anaknya bersolat kerana menunggu genap 7 tahun berdasarkan perkiraan taqwim masihi?Berapa tahunkah seseorang lelaki menanggung dosa tidak bersolat lantaran menunggu umur baligh 15 tahun berdasarkan taqwim masihi sedangka dia telah baligh beberapa tahun sebelumnya?
Begitu juga ia bersangkut paut dengan urusan solat dan puasa seorang wanita yang telah didatangi darah tabi'inya.Ia bersangkut paut masalah haram halalnya talaq.Ia bersangkut paut dengan iddah.Ia bersangkut paut dengan ubudiah kita pada Rabb al-'Alamin.
Siapakah yang ambil peduli semua ini?
Tiada siapa yang peduli.Tiada siapa yang mahu ambil tahu.Kerana ia adalah urusan ad-din yang enteng.Kerana ia tidak nampak relevannya untuk diberi perhatian walau sebelah mata.
Benarlah,agama ini bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang.Berita gembira buat kalian wahai para ghuraba'.
Sesungguhnya,para ghuraba' yang berpegang teguh pada ad-dinnya,adalah seumpama pemegang bara api di tangannya.
Ingatlah kalian wahai ghuraba' !!
Kata-kata Hasan al-Basri,"Teguhlah bersama sunnah Rasulmu sehingga kamu menemui Allah,tuhanmu.Dulu,kamu adalah golongan yang sedikit dan pada hari ini,bilangan kamu semakin sedikit.Thabatlah dan istiqamahlah." (bitasarruf yasir)
Kata-kata Al-Auza'ie al-Syaami, "Ahli hadith (umat Islam yang berada atas jalan hadith dan athar) adalah lebih berharga dari emas kerana sedikitnya bilangan mereka.Dan sesuatu akan menjadi mahal dan berharga,apabila kuantitinya sedikit."(bitasarruf yasir)
Moga Hijrah kita pada 1431H ini,kita manifestasikan dengan mengunggulkan taqwim hijri.Tinggalkan taqwim masihi di belakangan.Gunakan ia hanya ketika dharurat sahaja.WA AL-DHARURAH TUQADDAR BI QADARIHA!!
nasaie,
Perlembahan Nil,
Ardul Kinanah.
0 comments:
Post a Comment