4:57 AM

ISLAM ITU MULANYA ASING

KENAPA JALAN INI YANG DIPILIH

Kebanyakan dari kita tahu bahawa Islam itu mulanya asing.Ia juga akan kembali asing seperti dulu.Dan alangkah bertuahnya insan-insan yang telah memilih jalan yang asing itu.

قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏بدأ الإسلام ‏ ‏غريبا ‏ ‏وسيعود كما بدأ غريبا ‏ ‏فطوبى ‏ ‏للغرباء ‏
Inilah intipati dari hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya.Juga Imam al-Tirmizi dalam al-Jami' dan Imam Ahmad dalam al-Musnad di beberapa tempat.Hadith ini adalah sahih sehingga lafaz : فطوبى ‏ ‏للغرباء

Ini adalah pengakhiran lafaz yang ada dalam Sahih Muslim.Dalam satu riwayat al-Bazzar lafaz Islam diriwayatkan dengan lafaz Iman.Namun begitu,sambungan hadith ini yang menjelaskan siapakah individu yang asing itu,kebanyakannya (bahkan hampir semuanya) terdapat kelemahan di dalamnya.Oleh yang demikian,nisbah sahih untuk hadith ini hanyalah sehingga lafaz Muslim sahaja.Untuk detil,boleh dirujuk kitab Musnad Imam Ahmad tahqiq Syaikh Syu'aib,Jami' Tirmizi tahqiq beliau juga dan kitab-kitab takhrij yang lain.

ADAKAH ASING ITU SYAZ DAN GANJIL?

Tidak sekali-kali!!

Asing itu bukan syaz dan ganjil pada istilah syara'.Bagaimana boleh dikatakan asing itu ganjil dan syaz.Sedangkan Rasulullah s.a.w telah meninggalkan kita atas jalan yang putih bersih.Malamnya adalah terang benderang umpama siang.Tidak akan sesekal menyeleweng dari jalan ini kecuali orang yang celaka dan rosak.

Asing di sini kerana dia telah tergolong dalam golongan yang sedikit.

Asing di sini kerana dia telah memilih Islam semata-mata.Tanpa tambahan dan campuran (bid'ah para perosak agama).Itulah Islam yang disifatkan oleh al-Hafiz al-Zahabi sebagai :


الإسلام المحض


Ia juga senada dengan sebuah hadith yang lain bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda " Akan datang kepada manusia satu zaman,orang yang sabar dikalangan mereka atas urusan agama mereka,adalah seumpama orang yang menggenggam bara api."


Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari jalan Anas Bin Malik r.anhu.Para ulama' telah berbeza dalam menilai kedudukan hadith ini antara yang mendhaifkannya dan mensahihkannya.


Adapun ulama' yang mendhaifkan hadith ini berdasarkan sanadnya adalah seperti Ibn 'Adiyy dalam al-Kamil,Ibn al-Qaisarani dalam zakhirah al-Huffaz, Qadhi Ibn al-'Arabi dalam 'Aaridhah,al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal dan al-Zahabi dalam Mizan al-I'tidal.


Imam al-Tirmizi juga mengisyaratkan kedhaifan hadith ini melalui kata-katanya " Ini adalah hadith yang gharib melalui jalan ini.Perawinya iaitu Umar Bin Syakir,bukan sedikit ahli ilmu telah menganbil riwayat darinya.Dia adalah syaikh berasal dari Basrah."


Para ulama' menilai sanad hadith ini sebagai lemah kerana di dalamnya terdapat Umar ibn Syakir al-Basri.Istilah 'Syaikh' dalam ilmu hadith menunjukkan adanya kelemahan dalam perawi tersebut (walaupun tidak secara mutlak).Abu Hatim menghukumnya sebagai lemah.Ibn Hibban menilainya thiqah.

Maka,pendapat yang pertengahan untuk perawi ini ialah hadithnya boleh dijadikan i'tibar (istilah dalam hadith yg tak seharusnya difahami dengan bahasa biasa) dan hadithnya boleh dinaik taraf menjadi hasan jika ada penguat dan selagi mana matannya tidak mungkar.

Rahimallah aimmatal Islam.Rahimallah al-Syaikhain Ibn Baaz dan al-Albani.Mereka telah menghukum hadith ini sebagai hasan.Khitam Miskil Muhaddithin pada kurun ini iaitu Syaikh al-Albani telah memasukkan hadith ini dalam al-Sahihah kerana banyaknya syawahid (penguat).Hadith ini juga dinilai sahih lighairihi oleh Syaikh Syuaib dalam tahqiq Jami' al-Tirmizi kerana syawahidnya.Syahidnya adalah hadith Abi Tha'labah al-Khasyani dalam Jami' al-Tirmizi (no 3310). Hadith ini dinilai sahih oleh Ibn Hibban dalam sahihnya (no 385) dan syahid dari hadith Abi Hurairah dalam Musnad Ahmad (no 9074).

Inilah yang difahami melalui kata-kata al-Tirmizi bahawa hadith Anas bin Malik melalui riwayat Umar ibn Syakir adalah 'Gharib min hazal wajh' dan mahfumnya ialah 'Masyhur min ghairi hazal wajh' (Masyhur melalui jalan lain).

Asing bukan syaz dan ganjil.

Asing adalah asli dan tulen.

SALAFIAH DAN SALAF Al-SOLEH

Thabatlah di atas jalan ini wahai ikhwah salafiah.
Usah goyah dan gentar.
Kita menjunjung agama ini bukan kerana manusia.
Ia adalah manefestasi ubudiah kita pada Allah.
Berpegang pada manhaj nubuwwah,sahabat dan salafil ummah.
Bahawa berpada dalam al-Sunnah lebih baik dari bersusah payah dalam bid'ah.
Apa sahaja yang dinistakan pada kita,jadikan ia muhasabah.
Teruskan menadah ilmu dari masyaikh,agar dijamin keabsahan ilmu.
Jaga akhlak,adab dan etika dalam khilaf..
Biasakan dengan kenyataan ' la adri! '
Inilah jalan yang bukan kita pilih.
Tapi inilah manhaj yang wajib ditelusuri.

Thabatlah!!
Doakan saudaramu ini.















5:39 PM

DI MANAKAH KITA?

KUMPULAN MANUSIA DALAM MENUNTUT ILMU

Hisyam Al-Distiwaie telah berkata, " Demi Allah.Aku tidak mampu untuk menyatakan bahawa adanya satu hari yang mana aku telah keluar menuntut ilmu kerana Allah."

Al-Hafiz Al-Zahabi telah memberikan komentar terhadap kenyataan di atas.Katanya, " Demi Allah!Aku juga demikian!Salaf telah menuntut ilmu kerana Allah.Oleh yang demikian mereka telah jadi cemerlang.Akhirnya mereka menjadi para imam yang dijadikan ikutan.

1. Ada di kalangan mereka,pada mulanya menuntut ilmu bukan kerana Allah.Namun mereka berjaya menimba ilmu.Kemudian,mereka telah tersedar dan memuhasabah diri mereka.Ilmu yang telah ditimba telah memandu mereka ke arah ikhlas di pertengahan jalan.

Mujahid dan selainnya telah berkata, " Kami telah menuntut ilmu ini,dan kami tidak punyai niat yang besar pun untuknya.Namun selepas itu,Allah telah mengurniakan kepada kami ikhlas."

Sebahagian yang lain pula berkata, " Kami telah menuntut ilmu ini pada asalnya bukan kerana Allah.Tetapi,akhirnya ilmu itu sendiri telah merubah kami agar menuntutnya kerana Allah."

Ini juga adalah baik.Kemudiannya,mereka telah menyebarkan ilmu tersebut dengan niat yang baik.

2. Ada juga kumpulan manusia yang menuntut ilmu dengan niat yang rosak.Ia semata-mata untuk dunia.Agar mereka dipuji.Maka,bagi merekalah apa yang mereka niatkan.Kamu akan dapati kumpulan ini tidak mendapat petunjuk dari ilmu mereka.Ilmu itu tiada kesan di hati mereka dan tidak juga menghasilkan amal.Sesungguhnya 'alim adalah insan yang takutkan Allah.

3. Ada juga kumpulan manusia yang menuntut ilmu untuk jawatan.Mereka telah menjadi zalim dan melepaskan diri dari ikatan ilmu.Mereka telah menceroboh batasan kemungkaran dan kabair.Maka celakalah untuk mereka dan mereka bukanlah ulama'.

4. Sebahagian mereka pula tidak bertaqwa kepada Allah dalam urusan ilmu.Mereka mencari helah dan rukhsah dan meriwayatkan khabar yang syaz (untuk kepentingan fatwa yang ganjil).

5. Sebahagiannya pula bertindak berani terhadap Allah.Mereka telah mereka-reka hadith palsu (juga pembuat bid'ah yang memasukkan perkara yang bukan agama ke dalam agama-penulis).Maka Allah telah malukan mereka,ilmu mereka tidak dirahmati lalu hilang,dan kesudahan mereka adalah neraka.

Kesemua golongan di atas (walaupun terdapat perbezaan kumpulan di kalangan mereka) telah meriwayatkan ilmu yang banyak dan mereka telah menekuninya.Namun selepas itu,datanglah generasi yang jelas kekurangan ilmu dan amal mereka.

Selepas itu,datangnya puak yang menisbahkan diri mereka kepada ilmu,sedangkan mereka tidak tahu kecuali sedikit sahaja.Mereka menunjukkan kepada manusia bahawa merekalah ulama' yang mulia.Manusia seperti ini tidak sesekali sedar bahawa mereka dijadikan ikutan oleh manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah!" (Siyar A'lam al-Nubalaa' m/s 152-153 jil 7-Nukilam dari Kalimat Fi al-'Ilmi Wa Adab al-Talab Wa al-Ittiba' Wa Zamm al-Ibtida' m/s 30-31)

NASIHAT

Semoga Allah memberikan kita keikhlasan dalam menuntut ilmu.Agar menghasilkan amal dan takut padaNya.Agar kita saling menasihati.

Allahumma urzuqnal ikhlas wa thabbitna 'alaihi wa la taj'al 'amalana habaa-an manthuuran yauma nalqaak!

5:07 AM

HADITH DHAIF DALAM MENUNTUT ILMU

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakaatuh.

Sekadar perkongsian bersama sahabat-sahabat yang cintakan as-Sunnah,agar tidak bermudahan dalam menisbahkan sesuatu kalam terhadap Rasulullah S.A.W.

Hadith marfu' :


أَجْوَعُ النَّاسِ طَالِبُ العِلْمِ وَأَشْبَعُهُم الَّذِى لا يَبْتَغِيهِ

“Manusia yang paling lapar ialah penuntut ilmu, dan orang yang kenyang dari kalangan mereka ialah mereka yang tidak mencarinya (ilmu)” (Jami’ Saghir : 192)

Penjelasan :

1. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam kitab al-Majruhin (261,262/2),Abu Nu'aim dalam Akhbar Asbahan (259/1),dan Ad-Dailami melalui jalan Abi Nua'im (85/1/1) dari riwayat Muhammad Ibn Al-Harith dari Ibn Al-Bailamani dari ayahnya dari Ibn Umar secara marfu'.

2. 'Illahnya ialah pada Ibn Al-Bailamani.Namanya ialah Muhammad Ibn 'Abdirrahman.

(a) Kata Al-Zahabi : Mereka (nuqqad jarh ta'dil) telah menghukumnya sebagai dhaif.

(b) Kata Al-Nasaie dan Abu Hatim : Munkarul Hadith (Sila lihat Manhaj Imam Al-Nasaie m/s 2255 jil 6).

(c) Kata Ibn Hibban : Dia telah meriwayatkan dari ayahnya satu nuskhah yang mengandungi hampir 200 hadith semuanya maudhu'.(Kemudian Ibn Hibban telah menyatakan hadith-hadith tersebut dan ini adalah salah satunya.)

(d) Kata Ibn 'Adiyy : Setiap riwayat yang diriwayatkan oleh al-Bailamani,balanya adalah berpunca darinya.Dan perawi darinya iaitu Muhammad Ibn Al-Haris juga dhaif.(tarjamah Muhammad Ibn Al-Harith dalam dhu'afa' al-'Uqaili m/s 231 jil 5).

3.Kata Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Al-Gharaib Al-Multaqatah Min Musnad Al-firdaus : Muhammad Ibn Al-Haris dan syaikhnya (Muhammad Ibn 'Abdir Rahman) adalah dhaif.Beliau juga menyatakan dalam al-Taqrib bahawa Ibn 'Adiyy dan Ibn Hibban telah mentohmahnya (iaitu tuhmatul kazib).Sila lihat Tahzib al-Taqrib m/s 421 jil 4.

p/s : Untuk tarjamah yang lebih detil tentang Al-Bailamani sila rujuk Tahzib Taqrib Al-Tahzib oleh Syaikh Thariq 'Iwadhullah m/s 421 jil4.Juga sila lihat kitab Al-Dhu'afa' lil 'Uqaili tahqiq Dr. Mazin Al-Sarsawi m/s 319 jil5.

4. Kata Al-'Uqaily : Muhammad Ibn Al-Harith telah meriwayatkan dari Al-Bailamani hadith-hadith yang munkar.Sila lihat al-Dhu'afa' oleh al-'Uqaili m/s 231 jil 5.

Oleh yang demikian hadith ini adalah tersangat dhaif dan telah sepakat ulama' hadith akan kedhaifan dua perawinya terutamanya Ibn Al-Bailamani.Bahkan Ibn 'Adiyy dan Ibn Hibban telah menghukumnya sebagai muttaham (sebagaimana kata Ibn Hajar dalam Taqrib).

Hadith ini juga dinilai maudhu' oleh Ibn Hibban sebagaimana dalam Al-Majruhin.Tambahan pula hadith ini terdapat dalamnya 'illah tafarrud ghair muhtamal.Perawi hadith ini dari Ibn Umar ialah 'Abdur Rahman Ibn Al-Bailamani.Ibn Hajar telah menghukumnya sebagai dhaif.Begitu juga al-Zahabi telah menghukumnya sebagai dhaif dan layyin.Kata Ibn Baaz dalam Nukat al-Taqrib bahawa Ibn Qayyim telah menyatakan dalam Tahzib al-Sunan : Dia ('Abdur Rahman Al-Bailamani) telah disepakati akan ketidakharusan berhujjah dengannya.(sila lihat Tahzib al-Taqrib m/s 262 jil 3).

Oleh yang demikian,hadith ini juga tidak lepas piawai untuk dikategorikan sebagai hadith dhaif yang boleh diamalkan untuk fadhail secara ijma' ulama'.Kerana hadith ini telah hilang syarat dhaif yang ringan.Hadith ini telah diriwayatkan melalui tarjamah muzhimah yang terdiri daripada para dhu'afa' dan matrukin yang telah disepakati nuqqad hadith akan kewajipan meninggalkan riwayat mereka.Hadith ini juga telah dirumuskan sebagai dhaif oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir sebagaimana ianya jelas bagi yang mengetahui manhaj al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir.

Rahimallah aimmatal Islam.
Rahimallah al-Syaikh Al-Albani kerana telah memasukkan hadith ini dalam al-Dha'iifah no. 820, m/s 224 jil 2. Syaikh telah menghukum hadith ini sebagai maudhu' sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Hibban dan sebagaimana yang difahami daripada isyarat Ibn 'Adiyy dalam al-Kamil.

Wallahu a'lam.

Semoga Allah memelihara kita dari DOSA menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah tanpa tapisan yang cermat.



12:33 PM

RAHMATAN LIL 'AALAMIIN

THABATLAH!!

http://www.alrahma.tv/

Sudah agak lama aku tak menulis..
Pagi tadi,aku dikejutkan dengan satu berita.Mungkin tidak penting bagi sesetengah orang.Tapi ia teramat penting bagi aku.

Sudah agak lama aku tidak menonton dua channel penting dalam hidup ni.Ntah kenapa.Teman semasa keseorangan dan terasing di bumi jauh.Tapi,dianaktirikan di halaman sendiri.

1. Qanah An-Naas
2. Qanah Ar-Rahmah

Pelajar Mesir pasti tahu akan dua saluran ini.Tak semestinya dia 'salafi' baru dia tahu akan kewujudan dua saluran ni.Pada aku,asalkan dia inginkan kebaikan,insyaAllah dia akan temuinya di dua saluran ini.Tak kurang juga para ulama' dari Menara Ilmu Al-Azhar yang menjadi tetamu untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat.Salafiah bukan sesekali masalahnya!!

Aku terkejut pagi tadi.
Semasa leka mendengar Syarah Fathul Bari oleh guru kami yang mulia iaitu Dr Mazin Al-Sarsawi di Qanah An-Naas,aku menukar saluran ke Qanah Ar-Rahmah untuk melihat info.
Rupa-rupanya,ada perkara yang aku tidak ketahui.Qanah Ar-Rahmah ingin ditutup oleh Zionis.

Ya Allah..ujian apakah ini?
Aku tak mahu bercakap panjang.Yang hidup dengan Qanah ini sahaja yang tahu bahawa ia umpama ruh kami.Yang jika dicabut,jasad ini sudah tiada nilainya.

Ramai yg buat panggilan menyatakan sokongan,mengalungkan doa agar Allah memelihara Qanah Ar-Rahmah dan ulama'-ulama'nya.Panggilan telefon yang penuh dengan tangisan dan esakan dari bumi Andalus dan Amerika,cukup untuk jadi bukti bahawa Ar-Rahmah adalah ruh kami.

Buat Ikhwah dan Akhawat yang membaca blog ini,doakan agar Ar-Rahmah dan Qanawat Fadhaiyyah Islamiyyah yang lain dipelihara Allah.

Allahummasyhad,qad ballaghtu!!!