5:07 AM

HADITH DHAIF DALAM MENUNTUT ILMU

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakaatuh.

Sekadar perkongsian bersama sahabat-sahabat yang cintakan as-Sunnah,agar tidak bermudahan dalam menisbahkan sesuatu kalam terhadap Rasulullah S.A.W.

Hadith marfu' :


أَجْوَعُ النَّاسِ طَالِبُ العِلْمِ وَأَشْبَعُهُم الَّذِى لا يَبْتَغِيهِ

“Manusia yang paling lapar ialah penuntut ilmu, dan orang yang kenyang dari kalangan mereka ialah mereka yang tidak mencarinya (ilmu)” (Jami’ Saghir : 192)

Penjelasan :

1. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam kitab al-Majruhin (261,262/2),Abu Nu'aim dalam Akhbar Asbahan (259/1),dan Ad-Dailami melalui jalan Abi Nua'im (85/1/1) dari riwayat Muhammad Ibn Al-Harith dari Ibn Al-Bailamani dari ayahnya dari Ibn Umar secara marfu'.

2. 'Illahnya ialah pada Ibn Al-Bailamani.Namanya ialah Muhammad Ibn 'Abdirrahman.

(a) Kata Al-Zahabi : Mereka (nuqqad jarh ta'dil) telah menghukumnya sebagai dhaif.

(b) Kata Al-Nasaie dan Abu Hatim : Munkarul Hadith (Sila lihat Manhaj Imam Al-Nasaie m/s 2255 jil 6).

(c) Kata Ibn Hibban : Dia telah meriwayatkan dari ayahnya satu nuskhah yang mengandungi hampir 200 hadith semuanya maudhu'.(Kemudian Ibn Hibban telah menyatakan hadith-hadith tersebut dan ini adalah salah satunya.)

(d) Kata Ibn 'Adiyy : Setiap riwayat yang diriwayatkan oleh al-Bailamani,balanya adalah berpunca darinya.Dan perawi darinya iaitu Muhammad Ibn Al-Haris juga dhaif.(tarjamah Muhammad Ibn Al-Harith dalam dhu'afa' al-'Uqaili m/s 231 jil 5).

3.Kata Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Al-Gharaib Al-Multaqatah Min Musnad Al-firdaus : Muhammad Ibn Al-Haris dan syaikhnya (Muhammad Ibn 'Abdir Rahman) adalah dhaif.Beliau juga menyatakan dalam al-Taqrib bahawa Ibn 'Adiyy dan Ibn Hibban telah mentohmahnya (iaitu tuhmatul kazib).Sila lihat Tahzib al-Taqrib m/s 421 jil 4.

p/s : Untuk tarjamah yang lebih detil tentang Al-Bailamani sila rujuk Tahzib Taqrib Al-Tahzib oleh Syaikh Thariq 'Iwadhullah m/s 421 jil4.Juga sila lihat kitab Al-Dhu'afa' lil 'Uqaili tahqiq Dr. Mazin Al-Sarsawi m/s 319 jil5.

4. Kata Al-'Uqaily : Muhammad Ibn Al-Harith telah meriwayatkan dari Al-Bailamani hadith-hadith yang munkar.Sila lihat al-Dhu'afa' oleh al-'Uqaili m/s 231 jil 5.

Oleh yang demikian hadith ini adalah tersangat dhaif dan telah sepakat ulama' hadith akan kedhaifan dua perawinya terutamanya Ibn Al-Bailamani.Bahkan Ibn 'Adiyy dan Ibn Hibban telah menghukumnya sebagai muttaham (sebagaimana kata Ibn Hajar dalam Taqrib).

Hadith ini juga dinilai maudhu' oleh Ibn Hibban sebagaimana dalam Al-Majruhin.Tambahan pula hadith ini terdapat dalamnya 'illah tafarrud ghair muhtamal.Perawi hadith ini dari Ibn Umar ialah 'Abdur Rahman Ibn Al-Bailamani.Ibn Hajar telah menghukumnya sebagai dhaif.Begitu juga al-Zahabi telah menghukumnya sebagai dhaif dan layyin.Kata Ibn Baaz dalam Nukat al-Taqrib bahawa Ibn Qayyim telah menyatakan dalam Tahzib al-Sunan : Dia ('Abdur Rahman Al-Bailamani) telah disepakati akan ketidakharusan berhujjah dengannya.(sila lihat Tahzib al-Taqrib m/s 262 jil 3).

Oleh yang demikian,hadith ini juga tidak lepas piawai untuk dikategorikan sebagai hadith dhaif yang boleh diamalkan untuk fadhail secara ijma' ulama'.Kerana hadith ini telah hilang syarat dhaif yang ringan.Hadith ini telah diriwayatkan melalui tarjamah muzhimah yang terdiri daripada para dhu'afa' dan matrukin yang telah disepakati nuqqad hadith akan kewajipan meninggalkan riwayat mereka.Hadith ini juga telah dirumuskan sebagai dhaif oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir sebagaimana ianya jelas bagi yang mengetahui manhaj al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir.

Rahimallah aimmatal Islam.
Rahimallah al-Syaikh Al-Albani kerana telah memasukkan hadith ini dalam al-Dha'iifah no. 820, m/s 224 jil 2. Syaikh telah menghukum hadith ini sebagai maudhu' sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Hibban dan sebagaimana yang difahami daripada isyarat Ibn 'Adiyy dalam al-Kamil.

Wallahu a'lam.

Semoga Allah memelihara kita dari DOSA menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah tanpa tapisan yang cermat.



0 comments:

Post a Comment