3:24 PM

LEMBAYUNG 'ASYURA



Sudah agak lama aku tidak menulis.Kesibukan dengan jadual harian,menyebabkan aku kekurangan ruang untuk membaca.Penulisan mestilah berlandaskan pembacaan yang telus dan bersih.Ini kerana,setiap tulisan yang dipaparkan,adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t di Mahkamah Agung Ilahi di dataran mahsyar nanti.

Aku juga telah berfikir tentang satu cara untuk tidak membiarkan blog aku kesepian buat satu tempoh masa yang panjang.Aku telah ambil inisiatif menterjemah lagu atau artikel pendek secara bebas.Motifnya adalah,sekurang-kurangnya ada juga perkongsian yang boleh aku hidangkan buat diri aku dan teman-teman.

PUASA MUHARRAM

1. Rasulullah s.a.w telah bersabda melalui riwayat Abi Hurairah r.anhu bahawasanya puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram.(Sahih Muslim)

Yang dimaksudkan dengan bulan-bulan haram ialah bulan ZulQa'dah,ZulHijjah,Muharram dan Rajab.

2. Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa berpuasa pada hari 'Asyura iaitu hari kesepuluh dari bulan Muharram akan menjadi sebab pengampunan dosa setahun yang lepas.(Sahih Muslim)

3. Rasulullah s.a.w juga telah berpuasa pada hari 'asyura.Dan Baginda telah berniat untuk berpuasa pada hari tasu'aa (hari kesembilan Muharram) jika Baginda dipanjangkan umur.(Sahih Muslim).

Oleh yang demikian,para ulama' seperti Imam Al-Syafii,Imam Ahmad,Imam Ishaq Ibn Rahuyah dan lain-lain telah berpendapat bahawa sunat untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram.Ini adalah ekoran azam dan niat Baginda.

4. Puasa pada bulan Muharram adalah sangat digalakkan terutamanya pada hari kesepuluh.Syaikhul Islam Ibn Al-Qayyim (Zaad al-Ma'aad) telah menyatakan bahawa puasa pada bulan Muharram ada beberapa peringkat.

a) Puasa 3 hari iaitu 9,10 dan sebelas Muharram.
b) Puasa 2 hari iaitu 10 dan 11 atau 9 dan 10 Muharram.
c) Puasa sehari iaitu pada 10 Muharram.

Namun begitu,jika diperbanyakkan lagi puasa pada bulan Muharram maka ia adalah lagi baik.Dan puasa 'asyura adalah tersangat muakkad dan digalakkan.

KHULASAT AL-QAUL

Oleh yang demikian,sama-samalah kita memanjatkan doa kepada Ilahi agar diberi taufiq untuk meneruskan kehidupan ini dengan ibadat kepadaNYA.

terjemahan bebas : http://www.islamway.com/?iw_s=Article&iw_a=view&article_id=176

12:34 PM

:: حاربوه ياعداه ::

terjemahan bebas



perangilah Baginda wahai musuh sesuka hatimu,
kerna jiwa-jiwa kami adalah bentengnya,
dengarilah denyutan nubari kami,
gemanya memenuhi maya pada ini,
jeritkanlah kepada si celaka yang mencercanya,
yang tegar menabrak batasan larangan,
adakah sang kerdil yang hina,
sesekali bisa menewaskan mentari?

binasalah umat yang memusuhinya,
bagaimana mungkin mereka mensia-siakan petunjuknya,
bagaimana tergamak mereka mencaci nista,
insan agung yang memasakkan kemuliaan,

setiap kalbu dan jiwa,
telah diselimuti oleh rahmatnya,
dari tanah gersang kota bakkah,
telah terbias sinar cahayanya,

tanyalah pada tarikh,
bagaimana rupa seruannya,
yang telah menerangi kegelapan alam,

susah payah berpeluh keringat,
dia memulakan langkah,
tiada erti mundur,
tiada istilah henti,

dulunya,
manusia dalam kebingungan,
akhirnya mereka disuluh petunjuknya,
dulunya,
manusia dalam penindasan,
akhirnya mereka dibebaskan dengan tanganya,

dulunya,
setiap jiwa mati terkubur,
akhirnya mereka bernafas dengan seruannya,
qafilah sinar cahayanya,
bergerak seiring rahmat,
meninggalkan kegelapan silam.



9:05 PM

AGAMA ADALAH NASIHAT

SEPULUH PERKARA YANG SIA-SIA DAN KHALI DARI MANFAAT

  1. Ilmu yang tidak diamalkan.
  2. Amalan tanpa ikhlas dan jauh dari petunjuk al-Sunnah
  3. Harta yang dikumpulkan.Tidak ia digunakan untuk kebaikan dunianya dan tidak juga dilaburkan untuk akhiratnya.
  4. Hati yang lalai dari mencintai dan merindui Allah.
  5. Tubuh badan yang tidak digunakan untuk beribadat dan berkhidmat pada Allah.
  6. Dakwaan palsu cinta pada Allah namun amalannya jauh dari perintahNYA dan hatinya khali dari mencintainya.
  7. Masa yang tidak digunakan untuk menampung segala kecuaian lampau dan tidak dimanfaatkan untuk melaksanakan kebajikan.
  8. Fikiran yang melayang-layang tentang perkara yang tidak bermanfaat.
  9. Mendampingi manusia yang tidak mendekatkan seseorang kepada Allah bahkan ia menambahkan jurang antaranya dan Ar-Rahman.
  10. Ketakutan kepada hamba yang tidak memiliki sebarang kuasa,manfaat,mudharat,kehidupan dan kematian.Bahkan,nyawanya juga adalah milik Ilahi dan dalam genggamanNYA.


Kecuaian yang paling besar ialah kecuaian masa dan kelalaian hati.Lalainya hati adalah dengan mencintai dunia dan melebihkannya berbanding akhirat.Cuainya masa adalah dengan panjangnya angan-angan.

Ibu segala bencana dan kehancuran adalah mensia-siakan waktu dan menerawang dalam angan-angan.

Kunci segala kebaikan adalah dalam mengikuti al-Huda dan bersedia untuk yaum al-rahil(hari perpisahan meninggalkan dunia)

Berita gembiralah buat sesiapa yang mendengar kalam yang baik,lalu mengambil manfaat darinya dan diaplikasikan dalam langkah sehariannya.

sumber : terjemahan bebas dari kalam iftitahiah Majalah Al-Tauhid.Edisi Muharram 1431H







7:17 PM

HARAPAN PADAMU SUBUR KEMBALI

alangkah cepatnya hari-hari berlalu pergi
alangkah lajunya malam berganti siang
alangkah rakusnya sang malam memamah usia

baru semalam rasanya aku melambai pergi buat Ramadhan
ia umpama mimpi indah yang hadir hanya untuk ucapan selamat tinggal
dan..
baru sesaat rasanya lambaian haji hilang di kejauhan
persis sang kelana tiada persinggahan tiada perhentian

dan fajar ini
aku merelakan kepergian setahun dari usiaku
aku lepaskan ia demi sebuah kehidupan yang baru
usiaku saban waktu kepingin meninggalkanku
tapi aku..
apa yang telah aku korbankan
untuk hidup yang jauh dari sebuah kepastian?

berapa banyakkah amalan yang telah aku persembahkan
berapa gunung kebajikan yang telah aku longgokkan
dan
berapakah hasanat yang berjaya aku tabungkan tanpa tercicir
agar aku tidak muflis di dataran gersang?

berapakah ayat-ayat cinta al-Rahman yang aku lagukan?
berapakah sujud dan rukuk pada al-Rahim yang aku sembahkan?
berapakah dinar dan dirham pada al-Ghaniy yang aku taburkan?
berapakah hari aku berlapar berhaus demi puasa untuk diberatkan al-Mizan?
banyak manakah kebaikan yang aku kepenatan?
ramai manakah si yatim yang aku usap ubun-ubunya buat menghalau kesedihan?
ramai manakah sang miskin yang aku halau jauh dari mereka segala kegusaran?
ramai manakah insan dalam kepincangan langkah yang aku papah buat meneruskan perjalanan?
ramai manakah mujahidin di medan tempur yang aku untaikan untuknya doa pertolongan?

banyak manakah maksiat yang telah aku jaharkan?
banyak manakah pandangan khianat yang telah aku lemparkan?
seramai manakah saudaraku yang telah aku nistakan?
sejauh manakah sempadan al-Jabbar yang telah aku tabrakkan?
seramai manakah si mazlum yang haknya telah aku nafikan?
seramai manakah sang faqir yang telah aku abaikan?
dan aku kirakah setiap detik saat yang telah aku lalaikan?

sepanjang setahun yang lalu
aku telah penuhi lembaran amalku
tiada yang tertinggal tiada yang tercicir
sepanjang setahun yang lalu
aku telah conteng hitam kanvas amalku
tiada yang ceria berwarna pelangi..
semuanya kelam
semuanya kusam

alangkah bertuahnya sang hamba yang diterimaNYA
inginku berlari mengucapkan tahniah buatnya
inginku senandungkan untaian kedamaian untuknya
namun..
alangkah malangnya insan yang tercampak jauh dari kasih sayangNYA
inginku sampaikan salam takziah buatnya..
tapi,
adakahku yakin,
bahawa aku bukanlah insan malang itu?


terjemahan bebas



HARAPAN PADAMU SUBUR KEMBALI

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA



Album : Memori The Zikr
Munsyid : Nazrey Johani
http://liriknasyid.com


Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan QaharMu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksaMu

HambaMu rasa berputus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika

Tika mengenang GhafarMu
Putus asa tiada lagi
Semangatku pulih semula
Harapanku subur kembali

Ujian menimpa menekan di jiwa
Tak sanggup meneruskan perjuanganku
MehnahMu itu penghapus dosaku
Mengganti hukumanMu di akhirat

Di waktu mengenang rahmatMu
Terasa diri kurang bersyukur
PadaMu harusku memohon
Moga syukurku bertambah

Alangkah susahnya
Mendidik nafsuku
Yang tidak mengenal kebenaranMu
Ya Allah Tuhanku
Bantulah hambaMu
Dalam mendidik jiwaku ini

Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan QaharMu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksaMu


3:22 PM

HIKMAH YANG TERCICIR : BIARKAN IA DI SITU ANDAI MENGUTIPNYA MENGUNDANG SESAL

"Tempua tak akan sesekali bersarang rendah tanpa arah dan tujuan."


Aku cukup optimis dengan pilihan yang telah aku lakukan.Pasti amat.Cuma,baki lagi,cerucuk azam dan tekad harus kupasakkan sedalam mungkin,seteguh mampu agar bisa menongkah segala badai dan taufan.Aku tidak jauh bedanya dari insan yang lain.Saban hari hidup menghela nafas antara kusam kelam wajah manusia yang rambutnya sama hitam,namun hatinya mungkin juga hitam amat-jauh lebih hitam dari rambut luarannya.
Aku hidup antara penyokong setia yang bisa kuibaratkan sebagai pengampu.Aku juga hidup antara pembenci tegar yang sentiasa menjadi jasus menabrak hati kecilku,mempertikaikan qasad setiap gerak langkahku.

Aku tidak perlukan mereka semua yang hidupnya berpaksikan sebuah kejumudan yang statik.Aku butuhkan wazir yang saban waktu mendoakan segala kebaikan dan kerahmatan buatku.Aku kepingin teman-teman di sisi yang akan saling membahu mempertahankan al-Haq yang aku laungkan.Aku juga rindukan sang rafiq yang akan menarik tanganku menyemai nasihat dan taujihat tatkala al-Batil terluncur laju dari lidahku yang tak bertulang.Teman adalah cerminan hidup.Jika pengusaha kasturi yang aku pilih untuk berteman,maka lumayanlah wangian yang menceriakan setiap detik hariku.Jika sang tukang besi yang tergamak aku pilih untuk bersenda gurau,maka kenapa cacian nista kulontarkan pada orang lain dan bukannya batang tubuhku sendiri?

Aku mengharap tunjuk ajar dari kalian agar aku terus tabah dalam dakwah versi azam tahun baruku ini.Aku juga setia menanti nasihat dan teguran buat melancarkan perjalanan di lorong hijrah yang berliku ini.Aku berharap langkah mulaku ini,bukanlah langkah sang sambil lewa dalam tindak tanduknya.Aku berharap amat,agar langkah ini adalah noktah bidayah sehingga aku dijemput pulang oleh al-Maula Yang Maha Pengampun.

PLAGIAT DAN BLOGGERS

Kerapkali isu plagiat dan bloggers diwara-warakan.Acapkali ia mengundang hiwar yang bisa memanaskan tubuh pada musim sejuk yang mencecah 7 darjah celcius.Isunya tidak lain tidak bukan ialah :

Fulan telah meniru gaya tulisan 'allan.

Fulan telah copy-paste artikel yang berselerak di alam maya,lalu dimuatkan dalam blognya.
Aku tertarik untuk turut sama berkongsi rasa dan idea dalam isu ini.Cumanya,aku ingin halakan perbincangan jauh ke satu jihat yang lain.Aku juga kepingin untuk mengupas isu ini lalu kukaitkan ia dengan HIJRAH.Demi Allah,isu ini terlalu menyesakkan minda dan mengundang celaru yang tak berkesudahan.

Salahkah bloggers yang terlibat dengan tindakan di atas?
Jika betul, apakah justifikasi yang boleh diketengahkan?
Andai menyimpang dari kebenaran,apakah hujah bela diri yang boleh dikongsi bersama?

AL-HIKMAH DAN MUSLIM

Sebelum kita telusuri subjek ini secara mendasar,aku suka untuk meletakkan kayu aras sebagai penanda yang akan kita jadikan panduan dalam berdiskusi.Aku tertarik untuk membahagikan bloggers kepada dua kelompok secara general.Kelompok Muslim yang menjadikan blognya sebagai wasilah dakwah atau kesempatan dakyah yang sudah pasti ada kaitannya dengan ad-din yang mulia ini.Kelompok yang kedua ialah Muslim yang menyusun atur butiran huruf di blognya untuk perkongsian umum tetapi jauh dari intipati agama walau sedikit.

Kelompok yang kedua ini,aku yakin,tidak perlu disesakkan minda untuk ambil tahu urusan mereka kerana ia tidak punya kaitan dengan ad-din walau sebesar hama.Ia tidak perlu diberi prioriti yang tinggi kerana ia tidak menyentuh kesucian ad-din yang mulia.

Adapun kelompok Muslim yang pertama,boleh aku pecahkan kepada dua lingkungan iaitu Muslim yang mukhlis dalam setiap amal dan tindakannya.Mereka menulis bukan kerana nama.Mereka menulis adalah demi Islam.Lingkungan Muslim yang kedua pula ialah,mereka yang hati nubarinya telah tertutup dari melihat hidayah Allah.Mereka menjadi tangan khianat yang mencalar-balarkan wajah ad-din itu sendiri.Merekalah anak bangsa kita yang bertutur dengan loghat kita tetapi jalan kita dan mereka jauh menyimpang arahnya.Merekalah para pendakyah yang bercakap tentang ad-din atas maksud jijik tersirat dan tersurat untuk menghancurkan ad-din.Mereka ini,umpama pembaca al-Kitab tetapi suara-suara mereka tidak melepasi kerongkong dan ubun-ubun mereka.Mereka 'terkeluar' dari Islam seumpama meluncurnya anak panah dari busurnya.

Kelompok blogger Muslim yang menjadikan tulisan mereka sebagai wasilah dakwah pula,aku suka untuk kategorikan mereka kepada dua lingkungan iaitu HATIB LAIL dan NUQQAD.Hatib lail ialah satu istilah yang masyhur guna dijadikan indikasi merujuk kepada pengutip kayu api pada waktu malam.Dalam kegelapan malam,dia hanya mengutip apa sahaja dan kemungkinan besar terkutip ular yang berbisa.Jua berkemungkinan bersamanya serangga dan binatang berbahaya.Mereka boleh jadi orang biasa yang punya kesedaran Islam.Juga boleh jadi 'ustaz' yang hilang petunjuk dalam usul pengajiannya.

Nuqqad pula ialah para ilmuan Islam yang teguh menjaga usul pengajian Islam.Mereka adalah ghuraba' pada zaman serba maju dan canggih ini.Mereka menapis setiap tulisan mereka kerana ia adalah intrepetasi bagi sebuah tanggungjawab.Ad-din adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Rabb al-Jalil di dataran mahsyar.Hari yang mana tiada seorang pun yang bisa mendongakkan kepalanya lantaran kegerunan dan ketakutan kepada Al-Qahhar.

Konklusi yang dapat digarap daripada perincian umum di atas ialah Nuqqad akan terlepas dari isu plagiat artikel yang diutarakan di laman blognya.Ini kerana mereka sentiasa berasa diperhatikan dan dinilai oleh Ilah Yang Maha Adil dalam penghakimanNYA.Mereka,seandainya ada mengambil sesuatu manfaat dari sesebuah artikel,maka mereka akan menisbahkan artikel tersebut kepada pemiliknya.Alangkah besarnya cela yang terpaksa digalas oleh seorang anak yang mundar-mandir mencari nasabnya.Alangkah getirnya menghayun langkah di tengah lautan manusia tanpa ayah yang diwarisi namanya.Justeru,kenapa artikel tersebut dibiarkan yatim tanpa ayah?
Hukama' selalu berpesan bahawa keberkatan ilmu adalah menisbahkan sesuatu ucapan kepada pengucapnya.Dan isnad itu adalah daripada ad-din.Seandainya tiada isnad,maka sesiapa sahaja akan berkokok bebas atas nama ad-din.

Sememangnya,tidak dinafikan bahawa hikmah adalah milik umat ini.Sesiapa sahaja boleh mengutipnya,jika dia menjumpainya.





الحكمة ضالة المؤمن حيثما وجدها فهو أحق بها

Al-hikmah adalah milik individu mukmin yang telah tercicir.Maka,di mana sahaja dia menjumpainya maka,dialah yang paling berhak terhadapnya.

AL-HIKMAH DAN GENERASI IT

Zaman semakin laju memecut meninggalkan manusia jauh terkebelakang.Sesiapa sahaja yang peka,maka mereka akan sentiasa mengintai ruang mencuri peluang untuk terus maju ke hadapan.

Dan ad-din ini juga tidak terlepas dari cengkaman dan genggaman puaka IT.Dahulunya,sesuatu maklumat agama adalah eksklusif di simpan kejap dalam dada para ulama'.Kitab-kitab tulisan mereka tidak tersebar seluas manapun.Ini adalah kerana ia tersimpan dalam jagaan para ulama' yang thiqaat agar tidak bercampur aduk sewenang-wenangnya.Mereka terpaksa begitu bersusah payah menempuh azab safar demi menuai ilmu Allah dan RasulNya.Bukan sedinar dua yang perlu dihabiskan untuk memiliki kitab-kitab para ulama'.Mereka redha menjadi fakir demi Allah dan Rasulnya kerana mereka yakin bahawa bersama mereka adalah Allah Yang Maha Kaya.

Namun,suasana ini semakin hari semakin berubah.Percetakan kitab-kitab agama berkembang pesat.Makhtutat di kaji dan ditahqiq.Kitab-kitab mula dikumpul di dalam perisian komputer.Disebarkan dalam pelbagai format seperti PDF dan sebagainya.Sehingga kini,semua orang yang mampu berkomunikasi dengan dunia IT dan komputer,amat mudah sekali untuk memiliki kitab-kitab eksklusif tersebut.Bahkan khazanah simpanan kitab-kitab maya mereka melebihi perpustakaan peribadi para ulama'.

Apa salahnya IT?Apa salahnya kemajuan dan teknologi?

Kami katakan tiada salahnya.Kitab-kitab itu tidak bersalah.Kemajuan dan teknologi tak sepatutnya dilontarkan kata cerca dan nista.Ia akan jadi kebaikan jika jatuh ke tangan ahlinya.Dan ia akan menjadi barah yang mampu membunuh jika setiap mukmin mengaku bahawa itu adalah barang berharga miliknya yang baru dia ketemui.Lantas dialah yang paling berhak untuk mengutipnya.

Bukan semua benda yang baik akan kekal memberi manfaat.Bahkan ia akan membawa padah jika salah penggunaannya.Contohnya terlalu banyak untuk disebut satu persatu.Bahkan kita semua alim dan arif tentangnya.

Biarlah barang yang tercicir itu di situ andai ia lebih menjaga agama kita.Biarlah sahaja ahlinya yang mengutipnya!!

Aku menyeru sempena Tahun Baru Hijrah 1431 ini untuk mulakan langkah hijrah.Hijrah sahaja tidak cukup jika jalan yang ditempuh adalah jalan kebinasaan.Ada kesedaran Islam bukan tiket untuk mengutip segala khazanah ilmu Islam yang kononnya tercicir belasan kurun yang lampau dan didakwa enteng bahawa khazanah itu adalah miliknya dan milik semua.Maka,lancanglah lidah yang tak bertulang berfatwa atas nama agama dan ilmu lewat khazanah yang baru ditemui di lembaran internet.Ia dikutip tanpa usul yang sahih tanpa thariq yang benar.Maka bertempiklah iblis kegembiraan menjadi penonton perarakan batil yang memenuhi masyarakat.Hasil golongan Ruwaibidhah yang semakin bertambah pendokongnya.Khazanah itu tidak bersalah.Sesekali tidak berdosa.Cuma,ia perlu dipandu oleh usul ilmu agama itu sendiri yang dituai di majlis para ulama'.Jika tidak,kita akan terjerumus ke dalam jurang yang maha dahsyat dan dalam.

Nasihat para hukama' dan ulama' : Janganlah kamu pelajari al-Quran daripada mushafi iaitu orang yang membacanya sendiri-sendiri tanpa bimbingan ulama'.Dan janganlah kamu mengutip mutiara ilmu daripada sahafi iaitu orang yang telah menjadikan lembaran-lembaran kitab sebagai gurunya semata-mata.

Aku rasa,semua kita faham maksudku!!

nasaie,
Perlembahan Nil,
Ardul Kinanah.





11:50 PM

HIJRAH : SEJAUH MANA SUDAH DIHAYUN LANGKAH HIJRAH ITU?

Ibadat tanpa qasad tidak akan menjanjikan apa-apa.Ia adalah rutin yang memenatkan.Rutin yang membebankan,rutin yang menyemai rasa benci tanpa sedar.Ia tidak lagi menjadi tali penghubung antara hamba dan Ilah Yang Maha Rahman dan Rahim.Bahkan ia telah bertukar rupa berubah wajah menjadi barah yang sangat digeruni dan ditakuti.Ad-din bukan lagi umpama air hujan yang menyuburkan tanaman di lembah.Ad-din telah dimomokkan persis hujanan api azab yang dilontar menjarah kaum yang derhaka pada Tuhan.

Aku hairan.Aku keliru.Aku celaru.

Hidayah agama dan ilmu nubuwwah pernah diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w seumpama hujan yang lebat.Lebatnya bukan membawa bencana.Lebatnya bukan mencalar bahagia.Lebatnya adalah pada merealisasikan sebuah kehidupan.Ia adalah anugerah kehidupan buat tanah yang kering kontang dan kegersangan.Justeru,sekaligus menjadi anugerah yang sangat berharga dan tak ternilai untuk seluruh jagat raya ini.Ia adalah rahmat untuk insaniat.Ia adalah barakah untuk seluruh kainat.

Namun,ad-din yang menjadi nyawa bagi insaniat telah dicalar rupanya,telah diconteng wajah putih sucinya.Ad-din yang pada suatu ketika dulu,telah disirami dengan darah syuhada' dan airmata tangisan sang yatim,kini telah kelayuan.Ia semakin longlai menunduk hampir tersungkur di atas lembaran sejarahnya yang penuh dengan kegemilangan.Ia kini dihujum dan diperangi dari segenap arah dan jihat.Dari sekecil-kecil urusan sehingga tangan-tangan khianat itu semakin berani mencorak makar pada Al-Kitab dan Al-Hikmah.Mukjizat nabawi terlebih dahulu membongkar khabar,bahawa tangan-tangan khianat itu adalah dari bangsa kita sendiri.Lisannya fasih menuturkan pekat dialek dan loghat kita.Mereka adalah gunting dalam lipatan.Bahayanya adalah ibarat api dalam sekam.Ad-din dibunuh atas nama ad-din.Alangkah besarnya bahana apabila kalimah al-haq ditafsirkan untuk membaja batil.Alangkah bejatnya kemusnahan apabila ad-din dianggap barah yang mengundang ajal dan selain dari ad-din itu dijunjung,ditatang dan di arak umpama Maharaja tujuh benua.

MA'AL HIJRAH

Ibadat tanpa qasad tidak akan memacu perubahan.Ibadah tanpa niat akan menambah hitam wajah ad-din yang sedia kelam.Ibadah tanpa hisbah hanya mengundang celaru yang berpanjangan.Akhirnya,ia menjadi ritual yang membosankan atas nama ad-din.Generasi celik serba serbi ini,suatu hari nanti tidak akan teragak-agak untuk menanggalkan pakaian ad-din.Mereka akan lebih selesa,senang dan bebas dari segala kerumitan rutin harian agama nenek moyang mereka.Maka,riddah akan memukul gendang di seantero benua.Riddah yang mana Musailamah al-kazzab bermaharajalela tanpa ada seorang Abu Bakr al-Siddiq untuk memeranginya.

Inilah nasib setiap sambutan hari kebesaran Islam.Namakan apa sahaja ia.Ma'al Hijrahkah ia.Maulid al-Rasulkah ia.Nuzul al-Qurankah ia.Namakan ia apa sahaja.Ia hanya menjadi ritual yang mengasyikkan jika hisbah,niat dan qasad tidak memandu arah.Ia hanya hari libur untuk bersuka ria.Ia adalah hari untuk diisi dengan cuti-cuti balik kampung ataupun melakukan tawaf qudum,rukun dan ifadhah di pusat membeli belah.Ia adalah sambutan pada jasad yang sudah kaku tidak berhembus nafas,tidak berdenyut nadi.Ruhnya telah jauh benar ghaibnya.Nyawanya sudah lama benar terputus helaan nafas.Sambutan atas nama ad-din yang jauh amat dari prinsip dan tuntutan ad-din.

Agak biadap jika sambutan hari-hari kebesaran Islam kita bakulkan sekali dengan sambutan krismas ataupun tahun baru cina.Diksinya amat kasar.Bunyinya amat pedih.Namun hakikat adalah satu.Semuanya adalah sambutan yang jauh dari mengingati Allah sebagai Ilah dan Rasul yang diutuskan adalah sebagai qudwah penunjuk jalan.Lihat sahaja pada sunyinya rumah Allah lewat malam-malam Ramadhan al-Mubarak walaupun umat Islam masih lagi di fasa yang pertama.Lihat sahaja pada gegak gempitanya lorong-lorong dan gedung-gedung jualan pada sepuluh malam akhir bulan yang mana malam Qadarnya adalah lebih baik dari seribu bulan.Lihat sahaja pada suram dan kelamnya Idul Adha.Jika ia suram tanpa bunga api dan segala kuih muih,pakaian baru dan sambutan ekstravaganza,hati ini masih mampu meraikannya dengan penuh rasa syukur dan rahmat.Tapi,jika keizzahan dan kebesarannya telah mati sumbunya dari hati umat ijabah ini,maka apakah lagi yang tinggal untuk Khair Ummah ini?

TAQWIM HIJRI VS TAQWIM MASIHI

Aku harap,coretan rasa aku kali ini,menjadi satu usaha kecil yang akan dipandang oleh Allah s.w.t. Kenapa aku mulakan dengan prakata merangkap muqaddimah yang panjang lebar? Kenapa aku mulakan dengan memberi suntikan sedar akan peri tidak berharganya ibadat tanpa qasad? Kenapa aku berhempas pulas menerawang serata alam untuk membuka minda bahawa ad-din ini telah sarat disuap dengan makar jahat yang berpunca dari anak bangsa dan bahasa kita sendiri?

Jawapannya adalah tersangat mudah tapi ia tersembunyi umpama mutiara di dasar lautan.Lantaran ia amat bernilai,hanya sebuah tekad yang terpacak tegap mampu untuk membawa mutiara tersebut dari kegelapan yang berbalam hitam untuk melihat indahnya senyuman sang suria.

Sambutan Ma'al Hijrah hanya tinggal pada majlis dan protokol rasmi.Ia seumpama Muslim yang punyai nama Muhammad atau Abdullah.Ia seumpama al-Tanzil yang cuma tinggal cantuman huruf tanpa sebarang manifestasi.Tidak pada nilainya dan juga tidak pada perundangannya.Ia hanya sambutan ritual tahunan tanpa ada hadaf yang jelas,tanpa ada langkah yang dihayun ke arah sebuah pembaikan.

Sambutan Ma'al Hirah yang kononnya atas nama ad-din hanya tinggal jadi batu loncatan untuk semakin jauh dari ad-din.Dengan sedikit sambutan yang disiarkan di sana sini,sudah cukup untuk menjadi justifikasi paling konkrit bahawa mereka adalah jaguh dalam memartabatkan ad-din.Bagi yang tak terlibat dengan sambutan rasmi,ia adalah hari libur yang dinanti-nanti.Ia buat mengisi segala perancangan yang telah diatur sebelum ini.

Sambutan Ma'al Hijrah bagi generasiku pula,aku hampir yakin,bahawa nilainya hanyalah seperti cuti hari natal atau tahun baru cina sahaja.aku amat yakin.Kerana pengalaman adalah guru yang terbaik.

Aku tidak maksudkan semua umat Islam khususnya di Malaysia mengimani persepsi yang sama terhadap Ma'al Hijrah.Masih wujud segelintir dari kalangan mereka yang punyai kesedaran dan alangkah sedikitnya bilangan mereka.

Kenapa aku nampaknya sekeras ini?

Apakah corak perlawanan sengit antara taqwim hijri dan taqwim masihi?
Apakah signifikannya?Apakah implikasinya?
Ia seolah perkara remeh-temeh yang sengaja mahu digembar-gemburkan.


Demi Allah,ia adalah serangan yang maha dahsyat.Umat Islam telah bergelimpangan mati di medan tempur rahsia ini.Umat Islam umpama roh yang berkeliaran dengan sangkaan bahawa mereka masih menghirup oksigen di alam nyata.Tidak!!Umat ijabah ini telah mati bergelandangan tanpa nisan.Inilah hakikat yang memeritkan.Inilah hakikat yang menyakitkan.

Setiap individu dari umat ini dan segenap lapisan masyarkatnya telah mengkuburkan taqwim hijri tanpa nisan kecuali jiwa-jiwa yang masih bernaung di bawah lembayung rahmat Ilahi.Mereka hanya ingat tarikh 1 Muharram,1 Ramadhan dan 1 Syawal.

Alangkah besarnya bala yang melanda.Alangkah durjananya bencana yang melanda.

TAQWIM HIJRI DAN HAKIKAT UBUDIAH SEORANG MUSLIM

Kita hanya menyedari peri penting taqwim hijri untuk menentukan awal Ramadhan dan awal Syawwal.Itu sahajakah fungsi taqwim hijri yang berorientasikan bulan?

Sesungguhnya,musuh telah berjaya mensiat-siat jasad umat ini,sedari mereka mula meninggalkan taqwim hijri.Satu hakikat yang tiada duanya iaitu umat ini hanya punyai satu taqwim yang menjadi paksi ubudiahnya pada Ilahi.

Ia bertitik tolak seawal zaman balighnya.Jika tidak melalui mimpi atau keluarnya darah tabi'i bagi perempuan,maka pengiraan baligh adalah berdasarkan umur.15 tahun untuk lelaki dan 9 untuk perempuan.Bermulanya arahan pada ayah ibu agar mendidik anak bersolat juga berkait rapat dengan umur iaitu 7 tahun.

Sudah menjadi perkara yang diketahui umum bahawa seseorang individu akan punyai dua umur jika dilihat dari dua taqwim yang berbeza.Sesuatu yang pasti ialah umur melalui taqwim hijri adalah lebih cepat berbanding umur melalui tahun masihi.Semakin meningkat besar seseorang individu,maka semakin besar jurang antara dua umur.Cuba kita bayangkan,berapa lama ibu dan ayah menanggung dosa tidak memerintahkan anaknya bersolat kerana menunggu genap 7 tahun berdasarkan perkiraan taqwim masihi?Berapa tahunkah seseorang lelaki menanggung dosa tidak bersolat lantaran menunggu umur baligh 15 tahun berdasarkan taqwim masihi sedangka dia telah baligh beberapa tahun sebelumnya?

Begitu juga ia bersangkut paut dengan urusan solat dan puasa seorang wanita yang telah didatangi darah tabi'inya.Ia bersangkut paut masalah haram halalnya talaq.Ia bersangkut paut dengan iddah.Ia bersangkut paut dengan ubudiah kita pada Rabb al-'Alamin.

Siapakah yang ambil peduli semua ini?
Tiada siapa yang peduli.Tiada siapa yang mahu ambil tahu.Kerana ia adalah urusan ad-din yang enteng.Kerana ia tidak nampak relevannya untuk diberi perhatian walau sebelah mata.

Benarlah,agama ini bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang.Berita gembira buat kalian wahai para ghuraba'.
Sesungguhnya,para ghuraba' yang berpegang teguh pada ad-dinnya,adalah seumpama pemegang bara api di tangannya.

Ingatlah kalian wahai ghuraba' !!

Kata-kata Hasan al-Basri,"Teguhlah bersama sunnah Rasulmu sehingga kamu menemui Allah,tuhanmu.Dulu,kamu adalah golongan yang sedikit dan pada hari ini,bilangan kamu semakin sedikit.Thabatlah dan istiqamahlah." (bitasarruf yasir)

Kata-kata Al-Auza'ie al-Syaami, "Ahli hadith (umat Islam yang berada atas jalan hadith dan athar) adalah lebih berharga dari emas kerana sedikitnya bilangan mereka.Dan sesuatu akan menjadi mahal dan berharga,apabila kuantitinya sedikit."(bitasarruf yasir)

Moga Hijrah kita pada 1431H ini,kita manifestasikan dengan mengunggulkan taqwim hijri.Tinggalkan taqwim masihi di belakangan.Gunakan ia hanya ketika dharurat sahaja.WA AL-DHARURAH TUQADDAR BI QADARIHA!!

nasaie,
Perlembahan Nil,
Ardul Kinanah.

2:05 PM

HIJRAH INI PENUH LIKU

Aku seringkali kelu mentafsir takdir yang terlakar untuk hidup ini.Aku acap kali buntu untuk merungkai kekeliruan yang berselirat di benak insan-insan yang hadir dalam hidup ini.Apakah jawapan terbaik yang mampu aku suarakan untuk mengalirkan salju tenang dalam nubari mereka,andai aku sendiri sering goyah memasak cerucuk tekad untuk bertahan dengan pilihan ini?

Ya.Kerisauan mereka berasas.Rasa runsing mereka berhujahkan logik.Bahkan,ia bukan lagi terkepong dalam daerah dalil akal semata-mata.Ia sudah menjadi kesepakatan tanpa disedari.Ia telah menjadi persetujuan tanpa persidangan.Ia telah bertukar menjadi ijma' yg telah digazetkan.Ia sungguh menyeksakan dan menyesakkan.

Soalan mereka penuh sarat dengan kecaman.Ia sudah tiris menampung provokasi.Namun,hati ini sedar bahawa soalan-soalan itu adalah intrepetasi rasa kasih dan sayang yang melimpah ruah.Ia adalah aliran kasih seorang ibu yg terpercik sifat Rahman dan Rahim Allah s.w.t padanya.Ibu yang telah menanggung beban yg tak tertanggung dek gunung.Beban menampung janin yg semakin membesar bukan untuk sehari dua.Ia adalah beban setiap hela nafas,denyut nadi dan percikan peluh selama sembilan bulan.Ia adalah beban bertarung nyawa.Beban menggadai nyawa sendiri untuk memberi laluan pada sebuah kehidupan yang baru.

Ia juga adalah luahan sayang seorang ayah yang membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi anaknya.Ayah,insan yang berkedut seribu,bertulang rapuh.Namun lagaknya seumpama Badang yang tersangatlah gagah.Ayah,insan persis Hang Tuah lima bersaudara.Gagah,perkasa.Namun,siapa yang sedar derita mereka? Derita membesarkan.Sengsara mendidik.Semuanya kerana kasih dan sayang yang tak bertepi umpama lautan luas.

Akhirnya,aku terperdiar sendiri.Mengumpul segala kekuatan yang berbaki.Mencari diksi terbaik untuk digabung jalin agar menjadi jawapan paling lunak,balasan paling merdu.Agar jauh hati ibu ayah,bahkan sesiapa sahaja dari tersinggung terguris.Namun,soalan itu masih terlalu rumit,masih terlalu berselirat.

PERSOALAN DEMI PERSOALAN

Mungkin para budiman tertanya-tanya apakah kecelaruan yang nampaknya sengaja diperbesarkan ini? Mungkin,ada di kalangan budiman yang meluat menelusuri perenggan-perenggan di atas lantaran berlegar-legar di satu daerah yang tiada petunjuk yang jelas.

Ya!

Ia adalah daerah yang membingungkan.

Ia adalah daerah yang penuh dengan sihir.

Soalan yang acap kali bertamu." Kenapakah kamu memilih jalan ini? "



Kenapa aku memilih untuk menjadi pelajar ilmu Allah s.w.t dan RasulNya?
Kenapa ini jalan yang dipilih?
Kenapa ini jalan yang ditelusuri?
Bukankah ia berliku,penuh ranjau,tidak tentu penghujungnya?

HIJRAH

Sehari lagi,masa akan merangkak menuju 1431H.Setiap dari kita menuju hari tuanya sama ada kita sedar ataupun tidak.Setiap dari kita punya persepsi dan tafsiran tersendiri terhadap takrif dan manifestasi hijrah.Dan,kisah hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum dari kota suci Mekah ke Madinah akan menjadi topik hangat di ribuan bahkan jutaan mimbar di seantero dunia.Para penulis juga tidak akan terlepas mencoretkan butir-butir suka duka peristiwa bersejarah tersebut.

Namun,apakah signifikannya HIJRAH dalam menjawab kebuntuan soalan yang aku lontarkan di atas?

Ya!

Hijrah adalah sebuah pengorbanan.Besar ertinya hijrah tergantung pada bagaimana kita menilainya dan menelitinya.Kita melihat dengan pandangan yang sama tetapi sorotan kita kerap kali berbeza.Cara kita berfikir,menilai dan mengkaji akan memberi nilaian harga bagi sesuatu subjek dan objek.

" Hubby,jadi ke kita pergi kenduri anak saudara kak long kat Pontian nanti? " Tanya si isteri sambil menatang secawan kopi dan sepiring ubi keledek goreng.Senyuman diukir semanis mungkin.Tutur bicara dilenggok semerdu kicauan beburung.Lirikan mata pula ibarat perawan menggoda.

" Tengoklah dulu.Abang tak leh janji.Seminggu dua ni schedule abang padat sangat. "
Selamba sahaja jawapan acuh tak acuh meluncur laju dari bibir suami yang tekun membaca berita bola sepak di akhbar.

" Ala abang ni.Sibuk je memanjang.Tak leh cuti ker? Sayang dah lama tak ke Tangkak.Boleh kita singgah tengok-tengok kain.Dah lama tak ke sana. " Balas si isteri.Ada lirih rajuk di hujung bicara.

" Awak ni tak der kerja lain ker.Perabih duit je shopping benda-benda macam tu.Tak cukup lagi ke kain untuk dipakai? " Herdik suami tanpa kompromi.

Ini adalah antara dialog biasa yang kedengaran.Perselisahan pendapat dan pandangan antara dua gender hasil dari berbedanya cara mereka menyoroti sesuatu topik atau subjek.

Bagi si suami,justifikasinya amat mudah.Apa lagi yang kurangnya dari sudut pakai sehingga perlu berkereta sejauh 300 km hanya untuk melihat dan membeli kain.Pakaian sudah lebih dari cukup.Bahkan sudah boleh dihantar berguni-guni untuk bantuan mangsa gempa bumi di Padang.

Namun bagi si isteri pula,justifikasinya terputar 180 darjah.Dari utara menerawang ke selatan.Bagi isteri,sifat kewanitaannya sebagai ibu dan isteri,menyebabkan dia menelusuri isu tersebut dengan sorotan yang jauh berbeza.Kain bukan isu utama.Kenduri adalah subjek utama.Tangkak hanya persinggahan.Ingin dibeli selembar dua kain untuk pakaian di pagi Syawal.Selembar dua lagi untuk langsir yang sudah bertahun tak berganti.Harapanya,agar ada ketengan yang hadir di hati suami tatkala pulang setelah seharian berpenat lelah di pejabat.Agar rumah nampak ceria,ibarat syurga dunia.

Konklusinya ialah,nilai sesuatu subjek akan jauh bezanya,bergantung kepada cara kita menyoroti isu tersebut dan cara kita menanggapinya.Begitulah juga HIJRAH.Cara aku menanggapi HIJRAH,telah membawa aku ke satu daerah yang asing.Ia adalah daerah yang bukannya serba indah serba cantik.Ia daerah yang kusam,kelam dan mengerikan.Tapi aku walah.Aku linglung.Aku sayangkan daerah ini.Ia sering menggamit damai.Aku seolah telah di sihir agar terus setia menjadi penunggu daerah ini.Umpama pungguk menanti bulan lagaknya.Ia menjadikan aku penasaran ibarat Majnun bergelandangan menjejak Laila.

HIJRAH dari melihat yang zahir kepada melihat yang jauh tersirat. HIJRAH dari memahami dunia yang fana kepada metadabbur akhirat yang baqa'. HIJRAH yang telah aku manifestasikan secara fizikal dan mental. HIJRAH yang menuntut selautan kesabaran dan pengorbanan.

Ya!

Itulah HIJRAH yang telah aku pilih.Meninggalkan bidang profesional menuju bidang yang tersangat profesional.Bidang yang menagih kesungguhan dan upaya yang tinggi.Bidang profesional yang memaksa pelajarnya untuk tersungkur di hadapan ilmu Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.Ia adalah bidang yang tiada bandinganya.Aku telah tinggalkan segala sijil-sijilku yang cemerlang semasa UPSR,PMR dan SPM.Aku telah lipat ia kejap dalam khazanah sejarah.Aku mahu HIJRAH.Aku mulakan sejarah baru.Aku gagahkan diri melangkah ke DQ untuk menjadi pendamping kalam Ilahi.Aku melangkah dengan penuh sedar akan segala kekurangan duniawi pada masa yang mendatang.Aku pekakan telinga atas segala hujuman kata-kata yang maha mengguris dan kerap kali juga menyebabkan aku goyah sendirian.Ia datang dari insan yang kita sayang.Ia datang dari suluhan pengalaman insan-insan yang pernah merasai pahit getir itu.

HIJRAH aku tak terhenti di situ.Tergendala pengajian kerana kekurangan biaya.Akhirnya aku tercampak di tanah gersang ini.Bumi kinanah yang berdebu pasir.Tiada pemandangan seindah UK,Jepun dan US.Tiada biasiswa bernilai ratusan ribu ringgit.Tiada kesenangan.Tiada kerehatan yang panjang.Tanggungjawab pada diri dan agama menuntut pengorbanan.Dan HIJRAH ini,aku tidak tahu bila akan berakhir kembaranya..


Kenapa aku pilih jalan ini untuk aku terjemahkan kefahaman aku terhadap HIJRAH?
Demi Allah,aku tiada jawapan untuk itu.Maafkan aku jika selama ini yang bertanya,tak pernah berpuas hati atas jawapan balasku.Aku masih juga bingung sendiri.


Yang aku pasti,Allah s.w.t sayangkan aku.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين "

" Sesiapa sahaja yang Allah s.w.t kehendaki kebaikan untuknya,maka Allah s.w.t akan faqihkan dia dalam agama. "

Sabda Rasulullah s.a.w :

" من يرد الله به خيرا يصب منه "

" Sesiapa sahaja yang Allah s.w.t kehendaki kebaikan untuknya,maka Allah s.w.t akan mengujinya. "

Adakah aku akan terus di jalan ini?

Doaku saban waktu,agar aku mati di jalan ini.Terus berhijrah dari satu benua ke satu benua untuk mengutip ilmu Allah s.w.t dan Rasulnya.Biarlah aku jadi benteng-bentengnya yang terakhir.Walau nafas itu yang menjadi galang gantinya.

Aku teringat kisah Sayyiduna Sa'ad Ibn Abi Waqqas r.anhu yang nazak di ambang maut.Meminta belas dari Rasulullah s.a.w agar di doakan sembuh dan tidak meninggal di bumi Mekah.

Kenapa?

Tidak lain dan tidak bukan,ialah kerana mereka telah berhijrah ke bumi Madinah.Meninggalkan bumi Mekah yang dulunya di bawah taklukan musyrikin.Walaupun kini,ia telah beralih kuasa di bawah pimpinan umat Islam,namun Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum masih lagi ingin meneruskan sisa nafas mereka di bumi hijrah,bumi Madinah.Mereka takut pahala hijrah mereka akan sia-sia jika mereka kembali menetap di Makah atau menghembuskan nafas akhir mereka di sana.Sehinggakan Rasulullah telah berdoa kepada Allah agar diteruskan hijrah mereka.Samaada kekal di bumi Madinah atau terus kembara di pelusuk alam untuk ad-din ini.

Adakah aku tidak akan kembali buat selama-lamanya ke tanah airku,setelah aku mulakan langkah HIJRAH ini?
Adakah pulangku hanya seketika sahaja persis tahun-tahun yang sudah?
Soalan yang kerap menerjah indera dengar ini : "Bila nak habis belajar?Bila nak balik? Sudah-sudah la tu blajar!! "

Aku tiada jawapan untuk itu.Sungguh.Aku tiada jawapan untuknya.Aku telah pilih HIJRAH versi ini.Aku tak tahu..

Inilah sebabnya.Tanah gersang ini penuh dengan sihir yang memukau!!!


PERANTAU

Album : Memori The Zikr
Munsyid : Nazrey Johani
http://liriknasyid.com

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA


Perantau musafir perjuangan
Tabahkanlah hatimu
Berjuang di rantau orang
Sedih pilu hanya engaku yang tahu

Ingatan anak dan isteri
Janganlah menghiris hatimu
Kerinduan desa nan permai
Janganlah melemahkan semangat juangmu

Di waktu ujian badai terus melanda
engkau tetap gigih berjuang
membenarkan sabda junjungan
Terus memburu menuntut janji
Pastilah Islam gemilang lagi

Tapi pejuang kembara perjuangan
Ujian bukan batu penghalang
Kerana itulah syarat dalam berjuang

Oh pejuang
Di manapun ada ketenangan
Di manapun ada kebahagiaan
Bila insan kenal pada Tuhan
Kasih sayang dan pembelaan-Nya
bagi insan yang menyerahkan
Jiwa dan raga, anak dan isteri
Kepada Allah


nasaie,
Perlembahan Nil,
Ardul Kinanah.