3:22 PM

HIKMAH YANG TERCICIR : BIARKAN IA DI SITU ANDAI MENGUTIPNYA MENGUNDANG SESAL

"Tempua tak akan sesekali bersarang rendah tanpa arah dan tujuan."


Aku cukup optimis dengan pilihan yang telah aku lakukan.Pasti amat.Cuma,baki lagi,cerucuk azam dan tekad harus kupasakkan sedalam mungkin,seteguh mampu agar bisa menongkah segala badai dan taufan.Aku tidak jauh bedanya dari insan yang lain.Saban hari hidup menghela nafas antara kusam kelam wajah manusia yang rambutnya sama hitam,namun hatinya mungkin juga hitam amat-jauh lebih hitam dari rambut luarannya.
Aku hidup antara penyokong setia yang bisa kuibaratkan sebagai pengampu.Aku juga hidup antara pembenci tegar yang sentiasa menjadi jasus menabrak hati kecilku,mempertikaikan qasad setiap gerak langkahku.

Aku tidak perlukan mereka semua yang hidupnya berpaksikan sebuah kejumudan yang statik.Aku butuhkan wazir yang saban waktu mendoakan segala kebaikan dan kerahmatan buatku.Aku kepingin teman-teman di sisi yang akan saling membahu mempertahankan al-Haq yang aku laungkan.Aku juga rindukan sang rafiq yang akan menarik tanganku menyemai nasihat dan taujihat tatkala al-Batil terluncur laju dari lidahku yang tak bertulang.Teman adalah cerminan hidup.Jika pengusaha kasturi yang aku pilih untuk berteman,maka lumayanlah wangian yang menceriakan setiap detik hariku.Jika sang tukang besi yang tergamak aku pilih untuk bersenda gurau,maka kenapa cacian nista kulontarkan pada orang lain dan bukannya batang tubuhku sendiri?

Aku mengharap tunjuk ajar dari kalian agar aku terus tabah dalam dakwah versi azam tahun baruku ini.Aku juga setia menanti nasihat dan teguran buat melancarkan perjalanan di lorong hijrah yang berliku ini.Aku berharap langkah mulaku ini,bukanlah langkah sang sambil lewa dalam tindak tanduknya.Aku berharap amat,agar langkah ini adalah noktah bidayah sehingga aku dijemput pulang oleh al-Maula Yang Maha Pengampun.

PLAGIAT DAN BLOGGERS

Kerapkali isu plagiat dan bloggers diwara-warakan.Acapkali ia mengundang hiwar yang bisa memanaskan tubuh pada musim sejuk yang mencecah 7 darjah celcius.Isunya tidak lain tidak bukan ialah :

Fulan telah meniru gaya tulisan 'allan.

Fulan telah copy-paste artikel yang berselerak di alam maya,lalu dimuatkan dalam blognya.
Aku tertarik untuk turut sama berkongsi rasa dan idea dalam isu ini.Cumanya,aku ingin halakan perbincangan jauh ke satu jihat yang lain.Aku juga kepingin untuk mengupas isu ini lalu kukaitkan ia dengan HIJRAH.Demi Allah,isu ini terlalu menyesakkan minda dan mengundang celaru yang tak berkesudahan.

Salahkah bloggers yang terlibat dengan tindakan di atas?
Jika betul, apakah justifikasi yang boleh diketengahkan?
Andai menyimpang dari kebenaran,apakah hujah bela diri yang boleh dikongsi bersama?

AL-HIKMAH DAN MUSLIM

Sebelum kita telusuri subjek ini secara mendasar,aku suka untuk meletakkan kayu aras sebagai penanda yang akan kita jadikan panduan dalam berdiskusi.Aku tertarik untuk membahagikan bloggers kepada dua kelompok secara general.Kelompok Muslim yang menjadikan blognya sebagai wasilah dakwah atau kesempatan dakyah yang sudah pasti ada kaitannya dengan ad-din yang mulia ini.Kelompok yang kedua ialah Muslim yang menyusun atur butiran huruf di blognya untuk perkongsian umum tetapi jauh dari intipati agama walau sedikit.

Kelompok yang kedua ini,aku yakin,tidak perlu disesakkan minda untuk ambil tahu urusan mereka kerana ia tidak punya kaitan dengan ad-din walau sebesar hama.Ia tidak perlu diberi prioriti yang tinggi kerana ia tidak menyentuh kesucian ad-din yang mulia.

Adapun kelompok Muslim yang pertama,boleh aku pecahkan kepada dua lingkungan iaitu Muslim yang mukhlis dalam setiap amal dan tindakannya.Mereka menulis bukan kerana nama.Mereka menulis adalah demi Islam.Lingkungan Muslim yang kedua pula ialah,mereka yang hati nubarinya telah tertutup dari melihat hidayah Allah.Mereka menjadi tangan khianat yang mencalar-balarkan wajah ad-din itu sendiri.Merekalah anak bangsa kita yang bertutur dengan loghat kita tetapi jalan kita dan mereka jauh menyimpang arahnya.Merekalah para pendakyah yang bercakap tentang ad-din atas maksud jijik tersirat dan tersurat untuk menghancurkan ad-din.Mereka ini,umpama pembaca al-Kitab tetapi suara-suara mereka tidak melepasi kerongkong dan ubun-ubun mereka.Mereka 'terkeluar' dari Islam seumpama meluncurnya anak panah dari busurnya.

Kelompok blogger Muslim yang menjadikan tulisan mereka sebagai wasilah dakwah pula,aku suka untuk kategorikan mereka kepada dua lingkungan iaitu HATIB LAIL dan NUQQAD.Hatib lail ialah satu istilah yang masyhur guna dijadikan indikasi merujuk kepada pengutip kayu api pada waktu malam.Dalam kegelapan malam,dia hanya mengutip apa sahaja dan kemungkinan besar terkutip ular yang berbisa.Jua berkemungkinan bersamanya serangga dan binatang berbahaya.Mereka boleh jadi orang biasa yang punya kesedaran Islam.Juga boleh jadi 'ustaz' yang hilang petunjuk dalam usul pengajiannya.

Nuqqad pula ialah para ilmuan Islam yang teguh menjaga usul pengajian Islam.Mereka adalah ghuraba' pada zaman serba maju dan canggih ini.Mereka menapis setiap tulisan mereka kerana ia adalah intrepetasi bagi sebuah tanggungjawab.Ad-din adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Rabb al-Jalil di dataran mahsyar.Hari yang mana tiada seorang pun yang bisa mendongakkan kepalanya lantaran kegerunan dan ketakutan kepada Al-Qahhar.

Konklusi yang dapat digarap daripada perincian umum di atas ialah Nuqqad akan terlepas dari isu plagiat artikel yang diutarakan di laman blognya.Ini kerana mereka sentiasa berasa diperhatikan dan dinilai oleh Ilah Yang Maha Adil dalam penghakimanNYA.Mereka,seandainya ada mengambil sesuatu manfaat dari sesebuah artikel,maka mereka akan menisbahkan artikel tersebut kepada pemiliknya.Alangkah besarnya cela yang terpaksa digalas oleh seorang anak yang mundar-mandir mencari nasabnya.Alangkah getirnya menghayun langkah di tengah lautan manusia tanpa ayah yang diwarisi namanya.Justeru,kenapa artikel tersebut dibiarkan yatim tanpa ayah?
Hukama' selalu berpesan bahawa keberkatan ilmu adalah menisbahkan sesuatu ucapan kepada pengucapnya.Dan isnad itu adalah daripada ad-din.Seandainya tiada isnad,maka sesiapa sahaja akan berkokok bebas atas nama ad-din.

Sememangnya,tidak dinafikan bahawa hikmah adalah milik umat ini.Sesiapa sahaja boleh mengutipnya,jika dia menjumpainya.





الحكمة ضالة المؤمن حيثما وجدها فهو أحق بها

Al-hikmah adalah milik individu mukmin yang telah tercicir.Maka,di mana sahaja dia menjumpainya maka,dialah yang paling berhak terhadapnya.

AL-HIKMAH DAN GENERASI IT

Zaman semakin laju memecut meninggalkan manusia jauh terkebelakang.Sesiapa sahaja yang peka,maka mereka akan sentiasa mengintai ruang mencuri peluang untuk terus maju ke hadapan.

Dan ad-din ini juga tidak terlepas dari cengkaman dan genggaman puaka IT.Dahulunya,sesuatu maklumat agama adalah eksklusif di simpan kejap dalam dada para ulama'.Kitab-kitab tulisan mereka tidak tersebar seluas manapun.Ini adalah kerana ia tersimpan dalam jagaan para ulama' yang thiqaat agar tidak bercampur aduk sewenang-wenangnya.Mereka terpaksa begitu bersusah payah menempuh azab safar demi menuai ilmu Allah dan RasulNya.Bukan sedinar dua yang perlu dihabiskan untuk memiliki kitab-kitab para ulama'.Mereka redha menjadi fakir demi Allah dan Rasulnya kerana mereka yakin bahawa bersama mereka adalah Allah Yang Maha Kaya.

Namun,suasana ini semakin hari semakin berubah.Percetakan kitab-kitab agama berkembang pesat.Makhtutat di kaji dan ditahqiq.Kitab-kitab mula dikumpul di dalam perisian komputer.Disebarkan dalam pelbagai format seperti PDF dan sebagainya.Sehingga kini,semua orang yang mampu berkomunikasi dengan dunia IT dan komputer,amat mudah sekali untuk memiliki kitab-kitab eksklusif tersebut.Bahkan khazanah simpanan kitab-kitab maya mereka melebihi perpustakaan peribadi para ulama'.

Apa salahnya IT?Apa salahnya kemajuan dan teknologi?

Kami katakan tiada salahnya.Kitab-kitab itu tidak bersalah.Kemajuan dan teknologi tak sepatutnya dilontarkan kata cerca dan nista.Ia akan jadi kebaikan jika jatuh ke tangan ahlinya.Dan ia akan menjadi barah yang mampu membunuh jika setiap mukmin mengaku bahawa itu adalah barang berharga miliknya yang baru dia ketemui.Lantas dialah yang paling berhak untuk mengutipnya.

Bukan semua benda yang baik akan kekal memberi manfaat.Bahkan ia akan membawa padah jika salah penggunaannya.Contohnya terlalu banyak untuk disebut satu persatu.Bahkan kita semua alim dan arif tentangnya.

Biarlah barang yang tercicir itu di situ andai ia lebih menjaga agama kita.Biarlah sahaja ahlinya yang mengutipnya!!

Aku menyeru sempena Tahun Baru Hijrah 1431 ini untuk mulakan langkah hijrah.Hijrah sahaja tidak cukup jika jalan yang ditempuh adalah jalan kebinasaan.Ada kesedaran Islam bukan tiket untuk mengutip segala khazanah ilmu Islam yang kononnya tercicir belasan kurun yang lampau dan didakwa enteng bahawa khazanah itu adalah miliknya dan milik semua.Maka,lancanglah lidah yang tak bertulang berfatwa atas nama agama dan ilmu lewat khazanah yang baru ditemui di lembaran internet.Ia dikutip tanpa usul yang sahih tanpa thariq yang benar.Maka bertempiklah iblis kegembiraan menjadi penonton perarakan batil yang memenuhi masyarakat.Hasil golongan Ruwaibidhah yang semakin bertambah pendokongnya.Khazanah itu tidak bersalah.Sesekali tidak berdosa.Cuma,ia perlu dipandu oleh usul ilmu agama itu sendiri yang dituai di majlis para ulama'.Jika tidak,kita akan terjerumus ke dalam jurang yang maha dahsyat dan dalam.

Nasihat para hukama' dan ulama' : Janganlah kamu pelajari al-Quran daripada mushafi iaitu orang yang membacanya sendiri-sendiri tanpa bimbingan ulama'.Dan janganlah kamu mengutip mutiara ilmu daripada sahafi iaitu orang yang telah menjadikan lembaran-lembaran kitab sebagai gurunya semata-mata.

Aku rasa,semua kita faham maksudku!!

nasaie,
Perlembahan Nil,
Ardul Kinanah.





0 comments:

Post a Comment