2:05 PM

HIJRAH INI PENUH LIKU

Aku seringkali kelu mentafsir takdir yang terlakar untuk hidup ini.Aku acap kali buntu untuk merungkai kekeliruan yang berselirat di benak insan-insan yang hadir dalam hidup ini.Apakah jawapan terbaik yang mampu aku suarakan untuk mengalirkan salju tenang dalam nubari mereka,andai aku sendiri sering goyah memasak cerucuk tekad untuk bertahan dengan pilihan ini?

Ya.Kerisauan mereka berasas.Rasa runsing mereka berhujahkan logik.Bahkan,ia bukan lagi terkepong dalam daerah dalil akal semata-mata.Ia sudah menjadi kesepakatan tanpa disedari.Ia telah menjadi persetujuan tanpa persidangan.Ia telah bertukar menjadi ijma' yg telah digazetkan.Ia sungguh menyeksakan dan menyesakkan.

Soalan mereka penuh sarat dengan kecaman.Ia sudah tiris menampung provokasi.Namun,hati ini sedar bahawa soalan-soalan itu adalah intrepetasi rasa kasih dan sayang yang melimpah ruah.Ia adalah aliran kasih seorang ibu yg terpercik sifat Rahman dan Rahim Allah s.w.t padanya.Ibu yang telah menanggung beban yg tak tertanggung dek gunung.Beban menampung janin yg semakin membesar bukan untuk sehari dua.Ia adalah beban setiap hela nafas,denyut nadi dan percikan peluh selama sembilan bulan.Ia adalah beban bertarung nyawa.Beban menggadai nyawa sendiri untuk memberi laluan pada sebuah kehidupan yang baru.

Ia juga adalah luahan sayang seorang ayah yang membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi anaknya.Ayah,insan yang berkedut seribu,bertulang rapuh.Namun lagaknya seumpama Badang yang tersangatlah gagah.Ayah,insan persis Hang Tuah lima bersaudara.Gagah,perkasa.Namun,siapa yang sedar derita mereka? Derita membesarkan.Sengsara mendidik.Semuanya kerana kasih dan sayang yang tak bertepi umpama lautan luas.

Akhirnya,aku terperdiar sendiri.Mengumpul segala kekuatan yang berbaki.Mencari diksi terbaik untuk digabung jalin agar menjadi jawapan paling lunak,balasan paling merdu.Agar jauh hati ibu ayah,bahkan sesiapa sahaja dari tersinggung terguris.Namun,soalan itu masih terlalu rumit,masih terlalu berselirat.

PERSOALAN DEMI PERSOALAN

Mungkin para budiman tertanya-tanya apakah kecelaruan yang nampaknya sengaja diperbesarkan ini? Mungkin,ada di kalangan budiman yang meluat menelusuri perenggan-perenggan di atas lantaran berlegar-legar di satu daerah yang tiada petunjuk yang jelas.

Ya!

Ia adalah daerah yang membingungkan.

Ia adalah daerah yang penuh dengan sihir.

Soalan yang acap kali bertamu." Kenapakah kamu memilih jalan ini? "



Kenapa aku memilih untuk menjadi pelajar ilmu Allah s.w.t dan RasulNya?
Kenapa ini jalan yang dipilih?
Kenapa ini jalan yang ditelusuri?
Bukankah ia berliku,penuh ranjau,tidak tentu penghujungnya?

HIJRAH

Sehari lagi,masa akan merangkak menuju 1431H.Setiap dari kita menuju hari tuanya sama ada kita sedar ataupun tidak.Setiap dari kita punya persepsi dan tafsiran tersendiri terhadap takrif dan manifestasi hijrah.Dan,kisah hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum dari kota suci Mekah ke Madinah akan menjadi topik hangat di ribuan bahkan jutaan mimbar di seantero dunia.Para penulis juga tidak akan terlepas mencoretkan butir-butir suka duka peristiwa bersejarah tersebut.

Namun,apakah signifikannya HIJRAH dalam menjawab kebuntuan soalan yang aku lontarkan di atas?

Ya!

Hijrah adalah sebuah pengorbanan.Besar ertinya hijrah tergantung pada bagaimana kita menilainya dan menelitinya.Kita melihat dengan pandangan yang sama tetapi sorotan kita kerap kali berbeza.Cara kita berfikir,menilai dan mengkaji akan memberi nilaian harga bagi sesuatu subjek dan objek.

" Hubby,jadi ke kita pergi kenduri anak saudara kak long kat Pontian nanti? " Tanya si isteri sambil menatang secawan kopi dan sepiring ubi keledek goreng.Senyuman diukir semanis mungkin.Tutur bicara dilenggok semerdu kicauan beburung.Lirikan mata pula ibarat perawan menggoda.

" Tengoklah dulu.Abang tak leh janji.Seminggu dua ni schedule abang padat sangat. "
Selamba sahaja jawapan acuh tak acuh meluncur laju dari bibir suami yang tekun membaca berita bola sepak di akhbar.

" Ala abang ni.Sibuk je memanjang.Tak leh cuti ker? Sayang dah lama tak ke Tangkak.Boleh kita singgah tengok-tengok kain.Dah lama tak ke sana. " Balas si isteri.Ada lirih rajuk di hujung bicara.

" Awak ni tak der kerja lain ker.Perabih duit je shopping benda-benda macam tu.Tak cukup lagi ke kain untuk dipakai? " Herdik suami tanpa kompromi.

Ini adalah antara dialog biasa yang kedengaran.Perselisahan pendapat dan pandangan antara dua gender hasil dari berbedanya cara mereka menyoroti sesuatu topik atau subjek.

Bagi si suami,justifikasinya amat mudah.Apa lagi yang kurangnya dari sudut pakai sehingga perlu berkereta sejauh 300 km hanya untuk melihat dan membeli kain.Pakaian sudah lebih dari cukup.Bahkan sudah boleh dihantar berguni-guni untuk bantuan mangsa gempa bumi di Padang.

Namun bagi si isteri pula,justifikasinya terputar 180 darjah.Dari utara menerawang ke selatan.Bagi isteri,sifat kewanitaannya sebagai ibu dan isteri,menyebabkan dia menelusuri isu tersebut dengan sorotan yang jauh berbeza.Kain bukan isu utama.Kenduri adalah subjek utama.Tangkak hanya persinggahan.Ingin dibeli selembar dua kain untuk pakaian di pagi Syawal.Selembar dua lagi untuk langsir yang sudah bertahun tak berganti.Harapanya,agar ada ketengan yang hadir di hati suami tatkala pulang setelah seharian berpenat lelah di pejabat.Agar rumah nampak ceria,ibarat syurga dunia.

Konklusinya ialah,nilai sesuatu subjek akan jauh bezanya,bergantung kepada cara kita menyoroti isu tersebut dan cara kita menanggapinya.Begitulah juga HIJRAH.Cara aku menanggapi HIJRAH,telah membawa aku ke satu daerah yang asing.Ia adalah daerah yang bukannya serba indah serba cantik.Ia daerah yang kusam,kelam dan mengerikan.Tapi aku walah.Aku linglung.Aku sayangkan daerah ini.Ia sering menggamit damai.Aku seolah telah di sihir agar terus setia menjadi penunggu daerah ini.Umpama pungguk menanti bulan lagaknya.Ia menjadikan aku penasaran ibarat Majnun bergelandangan menjejak Laila.

HIJRAH dari melihat yang zahir kepada melihat yang jauh tersirat. HIJRAH dari memahami dunia yang fana kepada metadabbur akhirat yang baqa'. HIJRAH yang telah aku manifestasikan secara fizikal dan mental. HIJRAH yang menuntut selautan kesabaran dan pengorbanan.

Ya!

Itulah HIJRAH yang telah aku pilih.Meninggalkan bidang profesional menuju bidang yang tersangat profesional.Bidang yang menagih kesungguhan dan upaya yang tinggi.Bidang profesional yang memaksa pelajarnya untuk tersungkur di hadapan ilmu Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.Ia adalah bidang yang tiada bandinganya.Aku telah tinggalkan segala sijil-sijilku yang cemerlang semasa UPSR,PMR dan SPM.Aku telah lipat ia kejap dalam khazanah sejarah.Aku mahu HIJRAH.Aku mulakan sejarah baru.Aku gagahkan diri melangkah ke DQ untuk menjadi pendamping kalam Ilahi.Aku melangkah dengan penuh sedar akan segala kekurangan duniawi pada masa yang mendatang.Aku pekakan telinga atas segala hujuman kata-kata yang maha mengguris dan kerap kali juga menyebabkan aku goyah sendirian.Ia datang dari insan yang kita sayang.Ia datang dari suluhan pengalaman insan-insan yang pernah merasai pahit getir itu.

HIJRAH aku tak terhenti di situ.Tergendala pengajian kerana kekurangan biaya.Akhirnya aku tercampak di tanah gersang ini.Bumi kinanah yang berdebu pasir.Tiada pemandangan seindah UK,Jepun dan US.Tiada biasiswa bernilai ratusan ribu ringgit.Tiada kesenangan.Tiada kerehatan yang panjang.Tanggungjawab pada diri dan agama menuntut pengorbanan.Dan HIJRAH ini,aku tidak tahu bila akan berakhir kembaranya..


Kenapa aku pilih jalan ini untuk aku terjemahkan kefahaman aku terhadap HIJRAH?
Demi Allah,aku tiada jawapan untuk itu.Maafkan aku jika selama ini yang bertanya,tak pernah berpuas hati atas jawapan balasku.Aku masih juga bingung sendiri.


Yang aku pasti,Allah s.w.t sayangkan aku.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين "

" Sesiapa sahaja yang Allah s.w.t kehendaki kebaikan untuknya,maka Allah s.w.t akan faqihkan dia dalam agama. "

Sabda Rasulullah s.a.w :

" من يرد الله به خيرا يصب منه "

" Sesiapa sahaja yang Allah s.w.t kehendaki kebaikan untuknya,maka Allah s.w.t akan mengujinya. "

Adakah aku akan terus di jalan ini?

Doaku saban waktu,agar aku mati di jalan ini.Terus berhijrah dari satu benua ke satu benua untuk mengutip ilmu Allah s.w.t dan Rasulnya.Biarlah aku jadi benteng-bentengnya yang terakhir.Walau nafas itu yang menjadi galang gantinya.

Aku teringat kisah Sayyiduna Sa'ad Ibn Abi Waqqas r.anhu yang nazak di ambang maut.Meminta belas dari Rasulullah s.a.w agar di doakan sembuh dan tidak meninggal di bumi Mekah.

Kenapa?

Tidak lain dan tidak bukan,ialah kerana mereka telah berhijrah ke bumi Madinah.Meninggalkan bumi Mekah yang dulunya di bawah taklukan musyrikin.Walaupun kini,ia telah beralih kuasa di bawah pimpinan umat Islam,namun Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum masih lagi ingin meneruskan sisa nafas mereka di bumi hijrah,bumi Madinah.Mereka takut pahala hijrah mereka akan sia-sia jika mereka kembali menetap di Makah atau menghembuskan nafas akhir mereka di sana.Sehinggakan Rasulullah telah berdoa kepada Allah agar diteruskan hijrah mereka.Samaada kekal di bumi Madinah atau terus kembara di pelusuk alam untuk ad-din ini.

Adakah aku tidak akan kembali buat selama-lamanya ke tanah airku,setelah aku mulakan langkah HIJRAH ini?
Adakah pulangku hanya seketika sahaja persis tahun-tahun yang sudah?
Soalan yang kerap menerjah indera dengar ini : "Bila nak habis belajar?Bila nak balik? Sudah-sudah la tu blajar!! "

Aku tiada jawapan untuk itu.Sungguh.Aku tiada jawapan untuknya.Aku telah pilih HIJRAH versi ini.Aku tak tahu..

Inilah sebabnya.Tanah gersang ini penuh dengan sihir yang memukau!!!


PERANTAU

Album : Memori The Zikr
Munsyid : Nazrey Johani
http://liriknasyid.com

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA


Perantau musafir perjuangan
Tabahkanlah hatimu
Berjuang di rantau orang
Sedih pilu hanya engaku yang tahu

Ingatan anak dan isteri
Janganlah menghiris hatimu
Kerinduan desa nan permai
Janganlah melemahkan semangat juangmu

Di waktu ujian badai terus melanda
engkau tetap gigih berjuang
membenarkan sabda junjungan
Terus memburu menuntut janji
Pastilah Islam gemilang lagi

Tapi pejuang kembara perjuangan
Ujian bukan batu penghalang
Kerana itulah syarat dalam berjuang

Oh pejuang
Di manapun ada ketenangan
Di manapun ada kebahagiaan
Bila insan kenal pada Tuhan
Kasih sayang dan pembelaan-Nya
bagi insan yang menyerahkan
Jiwa dan raga, anak dan isteri
Kepada Allah


nasaie,
Perlembahan Nil,
Ardul Kinanah.





0 comments:

Post a Comment