2:09 AM

FIQH PUASA SUNAT

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين محمد الأمين, وأزواجه الطاهرات أمهات المؤمنين,وآله
الطيبين الطاهرين,وأصحابه حملة القرءان والسنن حماة الدين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين




PUASA 'ARAFAH

Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam artikel yang lepas,majoriti para ulama' menyatakan bahawa berpuasa pada 9 Zulhijjah adalah di sunatkan kecuali bagi jemaah haji yang sedang melakukan ibadat haji iaitu wuquf di medan 'Arafah.Bagi jemaah haji yang sedang wuquf di 'Arafah,hukumnya adalah makruh untuk mereka berpuasa.

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dari hadith sahabi Abi Qatadah r.anhu (no 759) bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda bahawasanya ' Puasa pada hari Arafah,aku berharap pada Allah SWT agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan selepasnya.'

Hadith ini juga telah dikeluarkan oleh Imam Muslim (no 1162),Imam Abu Daud (n0 2425,2426),Imam Ibn Majah (no 1730),Imam Ahmad (no 22517) dan Ibn Hibban (no 4642).{penomboran hadith adalah berdasarkan tahqiq Syaikh Syuaib al-Arnauth yang diedarkan oleh Muassasah al-Risalah.Dan mungkin berlaku perbezaan penomboran disebabkan perbezaan edisi}.



HUKUM BERKAITAN NIAT PUASA SUNAT

Secara umumnya,majoriti ulama' berpendapat adalah wajib untuk berniat puasa wajib pada malam hari bermula dari masuknya waktu maghrib dan berakhir waktu niat apabila masuk waktu subuh.

Ini adalah berdasarkan hadith :

لا صيام لمن لم يبيت الصيام بالليل

" Tidalah puasa (tidak sah) bagi seseorang yang tidak berniat puasa pada waktu malam (bermula waktu maghrib sehingga terbit fajar)."

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (no 2454),Imam Tirmizi (no 730),Imam Ibn Majah (no 1700) dan lain-lain.{penomboran hadith berdasarkan nota kaki Kitab al-Taudhih Li Syarh al-Jami' al-Sahih oleh Ibn Mulaqqin,ms 148,jil 13-dan boleh dilihat takhrijnya dalam Irwa' al-Ghalil Li al-Albani,al-Badr al-Munir Li Ibn al-Mulaqqin dan lain-lain}.

Adapun puasa sunat,maka majoriti ulama' berpendapat bahawa dibolehkan untuk mula niat puasa walaupun setelah masuk waktu subuh.

Ini berdasarkan hadith berikut :

(1) Hadith Ummil Mu'minin 'Aisyah r.anha yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no 1154).

Beliau berkata, " Pada suatu hari,Rasulullah SAW telah datang kepadaku.Lantas Rasulullah SAW telah bertanya," Adakah ka memiliki sesuatu? (iaitu makanan untuk di makan).Maka kami berkata," Tiada." Maka Rasulullah SAW telah bersabda," Maka aku akan berpuasa." Kemudian,pada hari yang lain,Rasulullah SAW telah datang lagi maka kami berkata," Ya Rasulullah,telah dihadiahkan kepada kami حيس (sejenis makanan)." Maka Rasululullah SAW telah bersabda," Tunjukkan kepadaku.Sesungguhnya aku telah berpuasa sejak pagi tadi." Maka Rasulullah SAW telah menjamah makanan tersebut.

(2) Hadith Salamah Ibn al-Akwa' yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (no 1924).

Salamah Ibn al-Akwa' telah memberitahu bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki pada hari 'Asyura agar memberitahu kepada kaum Muslimin bahawasanya sesiapa yang telah makan sesuatu pada pagi hari tersebut,hendaklah mereka meneruskan puasa mereka dan sesiapa yang masih belum makan,maka mereka juga mestilah meneruskan puasa mereka."

Berdasarkan dua hadith di atas,majoriti para ulama' berpendapat bahawa niat puasa sunat boleh bermula selepas waktu subuh.Ini adalah pendapat mazhab Syafiie,Ahmad,Abu Hanifah dan lain-lain.Adapun Imam Malik,beliau berpendapat bahawa mesti diniatkan puasa sunat pada waktu malam sebelum subuh seperti puasa fardhu.Ini berdasarkan keumuman hadith pertama di awal artikel.

Namun begitu,para ulama' yang membenarkan niat puasa sunat selepas subuh berbeza pendapat tentang pengakhiran waktu untuk niat.

(1) Mazhab Syafiie.

Pendapat yang kuat dalam mazhab Syafiie ialah sebelum masuk waktu Zohor.Dan ini juga adalah pendapat Mazhab Hanafi.

(2) Mazhab Ahmad.

Pendapat yang muktamad dalam Mazhab Ahmad ialah tiada had waktu sehinggalah masuk waktu Maghrib.Ini sebagaimana dalam Zad dan syuruhnya,Kassyaf al-Qina',Muntaha al-Iradat dan syuruhnya.(Hasyiah al-Raudh al-Murbi',ms 301,jil 4,edisi dar al-Watan).

Namun begitu,dalam hasyiah al-Raudh al-Murbi' ada dinyatakan bahawa untuk puasa sunat yang bersebab seperti puasa 'Asyura,'Arafah dan enam Syawwal,maka niatnya mestilah pada waktu malam juga.(Berdasarkan hasyiah Syaikh Khalid al-Musyaiqih dan rakan-rakannya.Namun,berdasarkan pengamatan saya,pendapat ini bercanggah dengan mu'tamad Mazhab Ahmad dan umum hadith 'Aisyah dan Salamah Ibn al-Akwa' di atas menolak pendapat ini.Maka yang terpilih-wallahu a'lam-ialah boleh mula niat puasa sunat walaupun selepas subuh).

Dan pahala puasa akan bermula dengan bermulanya niat.

Dan,majoriti ulama' berpendapat bahawa puasa sunat ini dibenarkan selagi mana seseorang individu itu masih belum melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum,bersetubuh dengan isteri dan sebagainya selepas masuk waktu subuh.Jika seseorang itu telah melakukan perkara tersebut,maka dia tidak boleh lagi melakukan puasa sunat.Bahkan Ibn Qudamah telah menukilkan kesepakatan ahli ilmu tentang perkara ini dalam kitab beliau al-Mughni (Hasyiah al-Raudh al-Murbi',ms 301,jil 4,edisi dar al-Watan)


APA KAITAN DENGAN PUASA 'ARAFAH DAN MASALAH FIQH YANG BERMAIN DALAM KEPALAKU

Buat masa ini,aku hanya ingin menulis tentang pendapat yang masyhur sahaja di kalangan majoriti ulama'.

Masih terlalu banyak perkara yang aku fikirkan.Sehingga tak boleh nak tidor ni.Apapun,sekurang-kurangnya,aku berjaga untuk sahur untuk puasa 'Arafah esok.

Jika seseorang mempunyai niat dalam hatinya untuk berpuasa keesokan harinya (samada puasa fardhu/wajib ataupun sunat) namun,keesokan harinya dia terlupa dan dia telah melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum,maka majoriti fuqaha' menyatakan bahawa puasanya adalah sah.

Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah r.anhu yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (n0 1933)

Rasulullah SAW telah bersabda, " Jika seseorang yang berpuasa telah lupa,maka dia makan dan minum,maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya,kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum."

Secara umumnya,bagi sesiapa yang termakan esok,teruskanlah puasa anda!!

p/s : Hati tak tenang lagi ni semasa tulis artikel ni.Apapun,ini adalah pendapat majoriti ulama'.Apa yang bergolak dalam hatiku,biar aku sahaja yang tahu.

Selamat beramal!

Wallahu a'lam

1 comments:

Nor Hashmie Irayanti said...

Assalam..
Saya nk bertnyakn soalan..

sahabat dan saya telah berbincang dn berniat untuk puasa asyura. Perbincangan kami adalah sehari sebelum puasa asyura.. maknanya hari 9hb..
kerana kelewatan.. dibolehkn berpuasa bg 10 dn 11 muharam.. bg mmbezakn dgn kaum yahudi.. betulkn jika sy silap..

Persoalannya.. sahabat sy terlupa puasa asyura tu.. dn sudah mnjamah mknan pd pg nya..

bgmana dgn niatnya.. awal dr mlmnya 10hb.. niatnya untuk berpuasa adalh di siang hari pd 9hb itu..
Tp dia mneruskn puasanye.. dan hanya bertawakal puasanye diterima allah..

diharap saudara/ustaz boleh mmbntu sedikit sebanyak pertanyaan sy..

Post a Comment