3:50 AM

MENARA ILMU : AL-AZHAR

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على رسول الله محمد الأمين
وعلى أزواجه وآله الطيبين الطاهرين
وعلى أصحابه الأبرار غر الميامين
ومن اقتفى آثارهم واقتدى بهديهم إلى يوم الدين


أما بعد


KELUH KESAH PADA HARI KEGEMBIRAAN

Alhamdulillah,umat Islam sedang berada dalam suasana Hari Raya Idil Adha 1431H.Hari Raya yang disyariatkan untuk makan dan minum dan diharamkan untuk berpuasa.


العيد : يوم أكل وشرب وذكر الله
Hari raya adalah hari makan,minum dan mengingati Allah SWT




Semoga Allah SWT menerima para jemaah haji di kalangan hambaNYA yang bertakwa dan pulang dalam keadaan terampun segala dosa dan dan membawa pulang haji yang mabrur.Dan juga buat hambaNYA yang tidak berada di Tanah Haram,semoga diterima sebagai tetamu al-Rahman pada tahun yang mendatang dan diampunkan juga dosa dan segala kemaksiatan.Sesungguhnya Allah SWT adalah Jawwaadun Kareem (Maha Pemurah dan Maha Mulia).

Semasa umat Islam sedang bergembira,saya diberikan link sebuah artikel untuk di baca.Hari mulia ini telah dicalarkan suasananya dengan artikel yang penuh pembohongan dan pendustaan terhadap sebuah pusat pengajian Islam ulung zaman berzaman iaitu Menara Ilmu : Universiti Al-Azhar!

Pada awalnya,saya tidak ingin mengulas artikel tersebut kerana telah jelas pembohongan dan pendustaan di dalamnya.Seseorang individu yang menggunakan kurnian akal yang sihat dan waras oleh Allah SWT,pasti akan membakul sampahkan tulisan durjana seperti itu!

Namun akhirnya,saya merasakan satu tanggungjawab berat terpikul dan tergalas atas bahu ini untuk mempertahankan menara ilmu ini dan para ulama'nya zaman berzaman.Walaupun saya bukan orang yang selayaknya untuk melaksanakan tugasan ini,namun kerana terhutang budi dengan al-Azhar dan para ulama'nya,maka saya sebagai anak al-Azhar,bangun untuk menafikan tohmahan dusta dan durjana ini!


MUSUH ITU ADA DI MANA-MANA

Dalam suasana Islam di serang dari pelbagai sudut dan penjuru samaada yang berkaitan dengan akidah,syariat,akhlak dan lain-lain,masih ada orang Islam sendiri yang membuat onar untuk merosakan agama Islam yang suci dan murni ini.

Kenapa tidak dihalakan segala kemahiran menulis itu untuk mempertahankan Islam dan mencantas segala kesamaran dan keraguan musuh Islam terhadap agama yang mulia ini?

Apa faedah yang diperolehi daripada sebuah artikel keji seperti itu untuk Islam.

Apabila racun bisa ini ditanam dalam benak pemikiran masyarakat Malaysia,maka akan pincanglah Islam di Malaysia.Masakan tidak,jawatan agama dan peranan agama di Malaysia,dimainkan secara besar perananya oleh para lulusan al-Azhar dari dulu dan sekarang.Ini tidak pula menafikan sumbangan dan peranan lulusan agama dari institusi Islam lain yang bertebaran di seluruh dunia.Apabila runtuhnya kepercayaan umat pada al-Azhar,maka akan runtuhlah keyakinan mereka terhadap Islam!


SEJARAH AL-AZHAR



(syair Dr. 'Aidh Al-Qarni buat Mesir Ardhil Kinanah semasa lawatanya ke Pesta Buku Antarabangsa Kaherah 2008)


Sepatutnya,saya tidak perlu membuang masa untuk menulis sejarah al-Azhar.Bak kata orang tua-tua,sudah terang lagi bersuluh.Hakikat yang jelas terang benderang seumpama mentari di dada langit.Adakah perlu lagi lilin kerdil buat menerangi kegelapan alam?

Ah,satu tuduhan dusta dan keji buat al-Azhar dan para ulama'nya apabila tanpa rasa segan dan silu ditulis Universiti British Al-Azhar!

Benarlah kata-kata Rasulullah SAW :


إذا لم تستح فاصنع ما شئت
Jika engkau tidak malu,maka lakukanlah apa sahaja



Hadith ini telah diriwaytkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya daripada hadith sahabi Abi Mas'ud 'Uqbah Ibn 'Amr r.anhu (no 6120).



Benarlah juga perumpamaan arab,bahawasanya,seseorang itu akan melakukan apa sahaja agar namanya disebut walaupun dengan cercaan dan laknat dari orang ramai.

Inilah kisah seorang lelaki yang telah kencing dalam telaga zamzam.Apabila masyarakat menangkapnya dan memukulnya,maka si jahil itu berkata, " Aku ingin namaku disebut walaupun dengan cacian!"

Penulis artikel tersebut secara berani mengatakan bahawa al-Azhar adalah universiti rekaan British untuk menyesatkan umat Islam dan memesongkan mereka dari landasan al-Quran dan al-Sunnah.Penulis yang berlagak pandai sejarah itu dan ini,tetapi buta dalam membaca sejarah!

Lupakah penulis tentang para ulama' tersohor umat sepanjang kurun ke-8 dan ke-9 di al-Azhar?

Nama-nama hebat semisal Syihabuddin Ibn Hajar al-Asqalani pengarang Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari,Badruddin al-'Aini pengarang 'Umdatul Qari Syarah Sahih al-Bukhari,Jalaluddin al-Suyuti pengarang ratusan kitab antaranya Zakhiratul 'Uqba Syarah Sunan al-Nasaie al-Mujtaba dan juga Syamsuddin al-Sakhawi pengarang Fathul Mughith Syarah Alfiyatil Hadith.

Nama-nama ini adalah tidak asing lagi dari al-Azhar.Ini adalah contoh bagi bidang hadith sahaja kerana pengkhususan saya adalah dalam bidang hadith.Bahkan di sana ada ramai lagi ulama' yang tak mampu untuk saya sebutkan nama mereka satu persatu sepanjang kurun.

Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas penat lelah mereka dalam menyebarkan dan mempertahankan agama ini.

Tokoh-tokoh al-Azhar pada kurun ini,tidak kurang ramainya yang menjadi benteng agama ini.Antaranya ialah Prof. Dr Abu Syahbah yang menulis kitab Difa' 'an al-Sunnah dan Dr. Mustafa al-Sibaie yang menulis kitab al-Sunnah Wa Makanatuha Fi al-Tasyri' al-Islami dan lain-lain lagi.Mereka telah mempertahankan rukun agama ini iaitu Hadith Rasulillah SAW daripada tangan-tangan kotor musuh Islam yahudi dan nasrani!

Adakah mereka semua ulama' jahat ciptaan British?

Alangkah jahatnya kenyataan yang keluar dari lidah yang tak bertulang itu!

ألا إن لحوم العلماء مسمومة
Ingatlah,bahawasanya daging para ulama' itu beracun.


Sesiapa yang mengumpati mereka dan mencerca mereka,hanya Allah sahaja yang akan membalasnya dengan siksaan azab jika mereka tidak bertaubat!

Kenapa sekeras ini?

Kerana,dengan menjatuhkan mereka,agama ini sedang dijatuhkan! Itulah hakikat sebenarnya!

PERANAN AL-AZHAR DALAM DUNIA ISLAM

Bagi seseorang yang mengkaji sejarah al-Azhar,perananya dan peranan para ulama'nya dalam dunia Islam,maka mereka akan mendapati hakikat sebenarnya al-Azhar di dunia Islam.

Penulis artikel yang entah dari mana munculnya,seolah-olah menafikan hakikat ini.

Beliau yang pernah merantau ke ceruk negara arab,seolah-olah tidak mengambil pengajaran dari kembaranya.Pernah mengaji di Jordan.Tidakkah pernah diselidik latar belakang pengajian guru-gurunya di Jordan?

Sepanjang kembara saya dua bulan di tanah Jordan,rata-rata guru yang mengajar di Universiti Mu'tah,Ali Bait ataupun Yarmouk adalah lulusan al-Azhar samada dari dekat atau jauh.Paling tidak,guru kepada para pensyarah-pensyarah ini adalah dari al-Azhar!

Jika ke Syria sekalipun,cubalah kaji latar belakang para ulama' di Universiti Damsyik.Ah,mereka juga Azhari atau paling kurang,guru kepada guru mereka adalah dari al-Azhar.

Di Mekah dan Madinah,tempat turunya wahyu,ulama' al-Azhar memainkan peranan yang besar dalam membangunkan pengajian Islam di sana.Lihat sahaja sejarah penubuhan dan perkembangan Universiti Ummul Qura dan Universiti Islam Madinah.Ah,tidak lepas dari jasa ulama' al-Azhar!

Pendek kata,kelebihan ulama' al-Azhar ke atas dunia Islam ada di mana-mana.

Sesiapa yang berniat jahat terhadap al-Azhar dan ulama'nya maka mereka sebenarnya buta mata hati dan tidak mustahil merekalah sebenarnya yang mempunyai agenda untuk memusnahkan Islam!

PENULIS YANG MEMPUNYAI KRISIS IDENTITI

Berdasarkan tulisan beliau,beliau merendahkan martabat al-Azhar dan para ulama'nya.Lalu disarankan agar diambil ilmu dari Yaman,Syria,Jordan,India,Pakistan,Mekah,Madinah dan lain-lain.

Pada hemat saya,beliau buta atau jahil hakikat sebenar hubungan baik institusi-institusi pengajian Islam ini dengan al-Azhar dan ulama'nya.

Jika Darul Ulum Deoband dan Nadwatul Ulama' Lucknow yang disanjung penulis,mengapa mereka membina hubungan baik dengan al-Azhar.Terlalu ramai pelajar dari benua kecil India yang melanjutkan pelajaran mereka di peringkat BA,MA dan PhD di sini.Sebahagian dari mereka adalah guru dan kawan saya!

Jika disuruh ke Mekah dan Madinah,bukankah itu pusat Wahabi sebagaimana yang digembar-gemburkan penulis!

Aku bingung dengan si penulis yang celaru corak pemikirannya!


PELAJAR MELAYU DAN AL-AZHAR

Memang tidak dinafikan,bahawa ramai pelajar Melayu yang tidak serius dengan pelajaran mereka di al-Azhar.Itu adalah kesalahan mereka.Maka kenapa harus dipalit segala kejahatan itu kepada al-Azhar dan ulama'nya.Adakah penulis mendengar sendiri para pensyarah kami menggalakan pelajar agar tidak hadir ke kelas?

Sesungguhnya ini adalah pendustaan yang jelas.

Di kalangan kami,sangat ramai pelajar yang mengambil peluang dari Universiti dan Masjid al-Azhar.Kedua-dua institusi ini adalah umpama ruh dan badan.Dan kebanyakan tenaga pengajar di kedua-dua taman syurga ini adalah dari al-Azhar.

Usah dicerita pengajian talaqi di segenap ceruk Mesir.Kebanyakan mereka adalah Azhari.Mesir adalah Azhar dan Azhar adalah Mesir!

Adakah semua yang belajar di Jordan,Syria,Madinah,Mekah dan lain-lain tempat itu berdisiplin dan berkualiti?

Saya tinggalkan kepada para pembaca untuk menilainya.


FATWA KONTROVERSI DARI AL-AZHAR

Tidak dinafikan,bahawa di sana ada fatwa kontoversi dari sesetengah ulama' al-Azhar.Ia sebagaimana fatwa kontoversi dari ulama'-ulama' dari institusi yang lain.

Fatwa riba bank,niqab,benteng antara Palestin dan Mesir dan lain-lain adalah fatwa yang lebih bersifat pandangan peribadi.Ia bukannya ijma' ulama' al-Azhar.Bahkan tidak kurang hebatnya para ulama' al-Azhar yang bangkit membantah fatwa-fatwa tersebut.

Kita sebagai penuntut ilmu,kenapa tidak kita berbaik sangka dengan para ulama'?

Kita terima fatwa mereka yang bersandarkan al-Quran,al-Sunnah dan kefahaman ulama' umat zaman berzaman dan kita ketepikan fatwa mereka yang ganjil.

Bukan tugas kita untuk mencurigai niat mereka.Biar sahaja Zat Yang Maha Mengetahui segala bisikan hati yang menghisab mereka.Semoga,kesilapan mereka yang sedikit diampunkan oleh Allah berbanding segala jerih perih mereka untuk Islam sepanjang hidup mereka.

Dan kita,apakah yang telah kita buat untuk Islam.Adakah kita yakin bahawa Allah SWT telah redha dengan kita?

Alangkah baiknya jika kita membilang segala dosa,maksiat dan keburukan diri sendiri.Semoga Allah membuka pintu taubat untuk kita dan menerima taubat kita.


SANGKA BURUK SAYA TERHADAP PENULIS

Saya ada perasaan tidak enak terhadap penulis.

Saya tidak ingin menuduh,tetapi tulisan beliau dan nukilan hadith-hadith beliau menggambarkan sesuatu!

Beliau adalah syiah atau cenderung kepada syiah ataupun jahil.

Hadith yang dijadikan sepanduk blognya dan hadith-hadith di bahagian tepi blognya yang berkaitan ahli bait dan al-mahdi adalah hadith yang tersangat dhaif dan ada yang dihukum batil dan palsu oleh ulama' hadith!

Di sini bukan masa untuk menerangkan status hadith-hadith itu.

Hadith-hadith itu semuanya berbau Syiah!

Maka tidak hairanlah jika dia ingin membunuh al-Azhar kerana dengan syahidnya al-Azhar,Islam akan gering!Namun,agama ini tidak akan sekali-kali jatuh ke tangan musuh,kerana Allah telah berjanji untuk memeliharanya!

CABARAN BUAT AZHARI

Buat ikhwah seperjuangan,jadikanlah kritikan penulis kepada kita sebagai kritikan membina dan wasilah untuk kita muhasabah diri.Semoga Allah memandu kita ke arah jalan yang diredhaiNYA.

Namun,ingat buatmu penulis!

Azhari di sini tidak akan gentar di medan ilmu.

Penulis masih belum bertemu buku dengan ruas agaknya.

Bawalah lulusan agama Melayu dari institusi yang lain yang hebat-hebat dan dibanggakan dari setiap jurusan pengajian Islam,nescaya kanak-kanak Azhari seperti kami ada wakilnya.

Usah diletihkan guru-guru kami yang dah berumur.Biarkan mereka rehat dan menjadi penonton sahaja.

Kami bersedia untuk bersilat di medan ilmu!!





0 comments:

Post a Comment