1:58 PM

RIWAYAT AHLI BAIT DI SISI AHLI SUNNAH

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakaatuh.

Segala puji bagi Allah SWT,Ilah bagi sekelian alam.
Selawat dan Salam buat junjungan mulia Baginda Rasulullah SAW,ahli keluarga Baginda,para sahabat r.anhum dan sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah mereka dengan baik dan ihsan sehingga hari kiamat.

Amma ba'du,


PERJUANGAN INI AKAN BERTERUSAN

Perjuangan untuk menegakkan agama yang mulia ini tidak akan sesekali berhenti dan terhenti.
Ini kerana,ada sahaja musuh yang cuba menyelinap masuk ke barisan kaum muslimin untuk memporak perandakan urusan agama mereka.Malang bagi masyarakat Malaysia yang rata-ratanya tidak mampu berbahasa Arab dan tidak mempunyai benteng ilmu agama yang mantap,mereka sekarang sedang diserang dengan pelbagai peluru kesesatan dari pelbagai penjuru.

Serangan terhadap syariat Islam yang dilancarkan secara terang-terangan di pentas politik.Juga serangan terhadap prinsip-prinsip Islam atas nama kemajuan,kemodenan,satu Malaysia atas nama membebaskan corak pemikiran lapuk dan kuno yang dicanangkan oleh liberalisma dan pluralisma agama.

Jika dulu,serangan-serangan jahat ini tertumpu ke arah perkara yang disifatkan juzuk dan khilaf,namun sekarang ia semakin menular ke arah prinsip dan tunjang agama iaitu akidah dan pegangan.

Lihat sahaja ajaran sesat di Malaysia yang sudah diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ataupun negeri.Masih bernafas dan bernyawa.Masih bergerak bebas.Saksikan ajaran Ahmadiah dan Bahai di Selayang!

Dan,yang isu yang tidak baru lagi.Seorang Dr. muda bebas menulis dan berkarya menyebarkan racun syiah walaupun ajaran syiah telah digazetkan sebagai sesat di Malaysia!Senang lenang duduk di kerusi pensyarah di sebuah universiti tempatan,tidakkah pihak berkuasa nampak akan kesan negative dan buruknya?Owh lupa.Macam mana nak nampak,sedangkan taqiyyah adalah rukun agama mereka.

Itulah dia Dr Faisal Tehrani!

Seorang Dr yang mengaku sunni tapi setiap hari menyebarkan dakyah syiah!




DR FAISAL TIDAK MENDENGAR NASIHAT

Dalam artikel-artikel saya yang lepas,saya telah memohon jasa baik beliau agar memilih salah satu kondisi yang saya senaraikan tentang letak duduk sebenar pegangannya.Namun,seolah-olah memberi bunga pada kera,beliau masih tidak menghargai nasihat dan saranan individu yang masih menyayanginya.Bahkan,tulisannya semakin tajam dan beracun!

Saya telah bertekad dan berazam untuk membedah artikel-artikel beliau yang ada kaitan dengan usul agama Syiah dan Sunnah.Adapun yang berkaitan dengan Iran yang dicintai beliau,maka persetankan ia.Selagi mana tiada hubungan langsung dengan agama,maka saya tak ingin untuk sesakkan pemikiran saya.


ARTIKEL : BELAJAR DARI WANITA PERTAMA

Sili klik di sini untuk artikel penuh dan komentar pembaca.

Secara peribadi,artikel tersebut mengandungi racun syiah yang ketara bagi yang memahami isu yang cuba disampaikan.Walaupun beliau mengaku sunni berkali-kali,pengakuan beliau tidak memberi sebarang impak padi para pengkritiknya.

Kerana,jika beliau mengaku sunni,ada dua kemungkinan.

(1) Sunni yang jahil dengan isu sunnah-syiah.Jahil dengan sumber agama Sunnah-Syiah.Sunni jahil yang terpedaya dengan Syiah lantaran tiada kayu ukur untuk mengukur dan menapis maklumat agama.Mana mungkin beliau ada kayu ukur.Sedangkan masanya sibuk dengan novel dan satera.Tiba-tiba,ingin masuk dalam polemik Sunnah-Syiah zaman berzaman.Sukarela membawa riwayat itu dan ini tanpa tapisan ilmiah!Ah,tidak sedar kemampuan diri!

(2) Syiah yang bertaqiyyah atas nama sunni untuk menyebarkan racun Syiah.

Buat saudara Faisal,jika anda membaca artikel ini,sila pilih salah satu antara dua yang mana tiada tiga bagi anda!


RIWAYAT AZ-ZAHRA DALAM KITAB AHLI SUNNAH



(sila lihat kelima-lima siri perbincangan tentang selok belok riwayat antara ahli sunnah dan syiah.Syaikh berkopiah putih,guru kami yang mulia al-Syaikh Dr. Thariq Iwadhullah)

Beliau cuba memainkan sentimen riwayat Az-Zahra dan Ahli Bait alaihimus salam yang sedikit dalam kitab ahli Sunnah.

Lupakah beliau apakah kenyataan ulama' hadith tentang sikitnya riwayat yang bersumber dari ahli bait?

Jawapannya kerana,terlalu ramai perawi Syiah yang berdusta atas nama ahli bait!
Sila lihat kitab-kitab kajian hadith perbandingan dalam masalah usul riwayat antara ahli sunnah dan ahli bait.Bagi yang mengambil pengkhususan hadith,mereka sedar segala semua ini.

Antara kitab-kitab rujukan perbandingan dalam masalah ini :

(1) Ittijahat Fi Dirasat al-Sunnah : Qadimuha wa hadiithuha oleh Prof. Dr. Muhammad Abu Laith Khair Abadi.Pensyarah hadith di UIAM Gombak.

(2) Usul al-Riwayah 'inda al-Sunnah Wa al-Syi'ah : Ardh Wa Naqd oleh Prof. Dr. Umar al-Farmawi.Pensyarah hadith di Universiti al-Azhar,Mesir.

(3) Dirasat Fi al-Hadith al-Nabawi Wa Tarikh Tadwinihi oleh Prof. Dr. Mustafha al-A'zhami

(4) Al-Wadha' Fi al-Hadith oleh Dr. Umar Fallatah

Di sana,banyak lagi kitab-kitab kajian perbandingan hadith antara Sunnah dan Syiah yang sepatutnya diketahui oleh Dr Faisal yang mengakui dirinya sebagai sunni,sebelum melontarkan persoalan sedemikian rupa.

Walaupun riwayat ahli bait terlalu banyak dalam kitab-kitab syiah,sudah ditelitikah bagaimana cara periwayatannya?Apakah sumber kitab tersebut?Bagaimana pula kesahihan manuskrip tulisan tangan yang dijadikan sumber?Ah,sang jahil yang teringin untuk membawa riwayat dari kitab syiah,tapi buta usul ilmu dalam mazhab syiah sendiri!

Lupakah Dr akan hadith-hadith kelebihan ahli bait dalam sumber-sumber sunni?Sila buka mana-mana kitab hadith sunni dalam bab manaqib,pasti akan ada riwayat kelebihan ahli bait.Riwayat kelebihan 'Ali,Fatimah,Hasan Husain alaihimus salam.Juga ahli bait Rasulullah yang lain seperti Abbas,Abdullah Ibn Abbas r.anhuma.Juga riwayat kelebihan Ummahatil Mu'minin yang juga ahli bait Rasulullah seperti Aisyah,Hafsah,Ummu Salamah r.anhunn.Juga riwayat kelebihan Abu Bakar,Umar dan Uthman r.anhum yang merupakan ahli keluarga Rasulullah SAW melalui ikatan perkahwinan.Juga kelebihan para sahabat yang tidak murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW di sisi Syiah seperti Salman,Abu Zar dan Miqdad r.anhum.

Bahkan lebih dari itu,riwayat kelebihan Sayyidina Ali paling banyak dalam kitab-kitab ahli sunnah.

Bahkan lebih dari itu,riwayat hadith Kisa' adalah dalm kitab ahli sunnah!Dan tiada pun riwayat ini melalui jalan yg sahih dalam kitab Syiah yang mendakwa mencintai ahli bait.
Hadith thaqalain juga ada dalam kitab-kitab ahli sunnah.Oleh sebab itu lah,para syiah berpegang dengan riwayat ahli sunnah.Alangkah malangnya bagi golongan yang mendakwa cinta pada ahli bait,tetapi mengemis riwayat kelebihan ahli bait dari kitab musuh mereka!

Buat Dr Faisal,rajin-rajinkanlah diri mengkaji 2 hadith di atas dari sumber sunnah dan syiah untuk menemui kebenaran!Tapi saya yakin,beliau tak akan faham apa-apa kerana beliau bukan pengkhususan agama,apatah lagi pengkhususan hadith!


KELEBIHAN AHLI BAIT DALAM KITAB AHLI SUNNAH

Saya tidak berniat untuk membawa satu-satu hadith tersebut.Kerana saya tak mahu panjangkan artikel ini.

Para pembaca diminta membaca kitab-kitab hadith seperti Sahih Bukhari,Sahih Muslim,Jami' Tirmizi dan lain-lain dalam bab Manaqib atau Fadhail Ahli Bait.InsyaAllah,para pembaca akan mengetahui bahawa tiada seorangpun dari ahli sunnah yang membenci ahli bait!

Saya tertarik dengan hadith berpegang teguh dengan al-Kitab dan Itrah (Ahli bait).
Sekali lagi beliau mencanangkan bahawa ini adalah hadith dari sumber sunni.
Terima kasih kami ucapkan atas pengiktirafan ini.Ini adalah tanda bahawa sunni menghormati dan menyedari kedudukan ahli bait.Oleh sebab itulah,mereka membawa riwayat-riwayat itu dalam kitab mereka.

TAPI,apa halnya dengan syiah?
Adakah ditemui riwayat yang memuji para sahabat dan Ummahat al-Mu'minin dalam kitab mereka?Sesekali tidak.Bahkan dalam kitab-kitab mereka,dan di hauzah-hauzah mereka,penuh dengan melaknat dan mengkafirkan para sahabat r.anhum!

Kami katakan pada Dr Faisal bahawa sumber sunni sahaja tidak cukup untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan.

Lupakah beliau pada al-Quran.Sumber pertama sunni.Namun,berapa ramai yang sesat dan terpesong dari kebenaran kerana memahami sumber pertama ini mengikut hawa nafsu masing-masing.Al-Quran tidak ditafsir melalui as-sunnah.

Mana mungkin syiah mentafsir al-Quran melalui as-sunnah,sedangkan para sahabat yang meriwayatkan as-sunnah,semuanya telah murtad kecuali beberapa orang sahaja!

Hadith berpegang dengan al-Quran dan Ahli bait ada dalam sumber sunni seperti berikut :

(1) Hadith Jabir Ibn Abdillah.diriwaytkan oleh Imam Tirmizi dalam bab Manaqib Ahli bait Rasulillah SAW.Hadith no 4120.Dalam kitab yang sama,ada hadith Zaid Ibn Arqam (n0 4122).Hadith Umar Ibn Abi Salamah (no 4121).Hadith Ibn Abbas (no 4123)

(2) Hadith Zaid Ibn Arqam dalam Musnad Imam Ahmad (no 19265).
Dalam tahqiq Musnad oleh syaikh Syuaib Arnauth dinyatakan juga sumber hadith ini.

Sahih Muslim (2408),Al-Darimi (no 3316),Abu Daud (no 4973),Nasaie dalam al-Kubra (no 7175) dan banyak lagi.

Nah,lihatlah.betapa banyak sumber sunni dalam memuliakan ahli bait.Saya rasa letih untuk menulis semua sumber itu kerana terlalu banyak.


TAFSIRAN AHLI SUNNAH TERHADAP HADITH AHLI BAIT

Namun,yang peliknya,Faisal tidak membawa tafsiran ahli sunnah terhadap hadith tersebut.Apakah yang ingin dimaksudkan dengan BERPALINGLAH KEPADA YANG BERHAK!

Adoi..

Inilah kepincangan Faisal dalam berkomunikasi dengan kitab ahli sunnah dan manhaj mereka.Mana mungkin beliau tahu,kerana sibuk dengan sastera.Syiah pula terkenal zaman berzaman bahawa mereka pincang dalam memahami usul agama ini.

Ahli sunnah tidak melihat hanya satu dua hadith.Mereka melihat kesemua hadith dan ayat Quran yang berkaitan dalam masalah itu.

Maka ingin ditanya di sini :

(1) Dimanakah hendak dicampak hadith berpegang teguhlah pada sunnah Rasulullah dan sunnah khulafa' sebagaimana yang diriwayatkan oleh Tirmizi,Abu Daud,Ibn Majah dan lain-lain.

(2) Dimanakah hendak dicampak hadith yang Rasulullah telah meninggalkan 2 perkara yang jika kita berpegang dengannya,maka kita tidak akan sesat iaitu Al-Quran dan As-Sunnah sebagaimana dalam riwayat Muwatha' oleh Imam Malik?

(3) Dimanakah kita hendak campakkan ayat-ayat al-Quran dalam menyuruh kita berpegang dengan al-Sunnah sebagaimana dalam surah al-Nisa',al-Hasyr dan lain-lain.Dimanakah hendak campak ayat al-Quran tentang mengikuti para sahabah sebagaimana dalam surah at-Taubah?

Maka ingin dinyatakan di sini :

Ahli Sunnah melihat semua riwayat tersebut dan menggabungkannya untuk memahami masalah secara telus.

Kesimpulan ahli sunnah :

(1) Tiada perselisihan antara hadith-hadith tersebut.Ini kerana,setiap hadith difahami pada tempatnya dan masanya.Sebagaimana disebut oleh Mulla Ali Qari dalam syarah Misykat,bahawa Ahli bait Rasulullah SAW,mereka mengetahui banyak perkara dalam rumah Rasulullah SAW sebagaimana para sahabat yang lain mengetahui urusan Rasulullah semasa di luar rumah,ketika musafir dan perang.Maka,mereka saling melengkapi.(Hasyiah Jami' Tirmizi,ms 335,jil 6,edisi al-Risalah)

(2) Ahli sunnah juga mengiktiraf kedudukan ahli bait agar mereka dijaga hak-hak mereka walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW.Perkara ini boleh difahami secara jelas melalui riwayat kelebihan Qarabah Rasulillah SAW sebagaimana dalam Sahih Bukhari dan sebagaimana kenyataan Abu Bakar r.anhu dalam bab yang sama.(Fathul Bari syarah Sahih Bukhari,ms 430 dan seterusnya,jil 8,edisi Tayyibah).Sila lihat juga syarah Hadith Ahli Bait melalui riwayat Zaid ibn Arqam dalam Sahih Muslim (Takmilah Fathil Mulhim Syarah Sahih Muslim,ms 59,jil 5)


SOALAN TERAKHIR BUAT DR FAISAL

Apakah yang ingin dimaksudkan dengan berpaling kepada yang berhak?Apakah yang beliau faham dari hadith berpegang dengan Ahli Bait?

Samaada :

(1) Mengagungkan batang tubuh mereka.Maka selepas kewafatan mereka alihimus salam,apa lagi yang tinggal?

(2) Mengikuti akhlak dan peribadi mereka.Maka,apakah bezanya mereka berbanding akhlak dan peribadi para sahabat yang lain?Sedangkan mereka semua telah dipuji oleh Allah-Pencipta mereka-dalam Al-Quran!

(3) Mengikuti ajaran mereka.Maka,apakah ajaran mereka yang berbeza dengan ajaran para sahabat dan ahli sunnah yang lain?


AKHIRNYA.

Kita sampai pada satu kesimpulan yang memeritkan!!!

Bahawasanya,kamu dan ulama' kamu berada di atas ajaran dan agama yang lain!
Dan Ahli Sunnah berada di atas ajaran dan agama yang lain!

Maka,kenapa kamu mengaku sunni jika ini kefahaman kamu,iaitu ahli bait ada ajaran yang lain.Jika ahli bait tiada ajaran yang lain,maka kenapa kamu bersungguh-sungguh memperjuangkan ahli bait dan kamu menolak tafsiran ulama' ahli sunnah terhadap hadith-hadith di atas sedangkan kamu mengaku sunni?


HARAPAN DAN DOA

Ya Allah,terimalah usahaku yang tak seberapa ini.
Ya Allah,pandulah kami ke jalan yang benar.
Ya Allah,kembalikan saudara kami yang telah terpesong ke jalan yang benar.
Ya Allah,semoga Dikau memberi kerehatan padaku di akhirat sana,kerana letihku yang sedikit bersengkang mata,menahan sakit belakang dan sebagainya,demi agamaMU yan Allah..

Ingatlah kata-kata Abu Zur'ah al-Razi,seorang tokoh hadith pada zaman Imam Ahmad.

Jika engkau melihat seseorang memperlekehkan dan mencerca sahabat Rasulullah SAW,maka ketahuilah bahawasanya dia adalah zindiq (kafir,munafiq yang berpura-pura Islam tetapi ingin menghancurkan Islam dari dalam).Ini kerana Al-Quran dan Al-Sunnah adalah benar di sisi kami.Dan para sahabat r.anhum lah yang menyampaikan al-Quran dan al-Sunnah kepada kita.Sebenarnya,apabila mereka mencerca para sahabat r.anhum,mereka ingin membatalkan al-Quran dan al-Sunnah.Sepatutnya mereka yang lebih utama untuk dicerca.Dan ketahuilah bahawa mereka adalah zindiq!(al-kifayah oleh Khatib Baghdadi dan Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir-melalui kitab Madar al-Isnad,ms 379,jil 1,edisi al-Maiman)


0 comments:

Post a Comment