5:58 PM

POTONG RAMBUT,KUKU BAGI YANG INGIN MENUNAIKAN IBADAH KORBAN


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين محمد الأمين, وأزواجه الطاهرات أمهات المؤمنين,وآله الطيبين الطاهرين,وأصحابه حملة القرءان والسنن حماة الدين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين


ZULHIJJAH MENJELANG LAGI


Hari ini,sudah 3 Zulhijjah.Beberapa hari sahaja lagi,jutaan umat Islam akan mula wuquf di padang Arafah.Hari ini,tetamu al-Rahman semakin membanjiri Tanah Suci Kota Makkah.Dan,umur 1431H juga semakin singkat,rasanya terlalu laju berlari ke 1432H.Kita sebagai hamba,sewajibnya terus bermuhasabah atas setiap saat yang telah berlalu agar ia berlalu dengan maghfirah dan belas kasihan Ilahi.Ini kerana,sudah pasti bahawa buku catatan amalan kita untuk sepanjang tahun ini telah habis kita hitam legamkan dengan segala jenis dosa dan maksiat.

Ya Allah,ampunilah kami kerana Engkau Maha Pengampun!


IBADAH DI BULAN ZULHIJJAH


Di samping ibadah harian biasa di bulan yang mulia ini,terdapat beberapa ibadah khusus yang telah disyariatkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Antaranya ialah :

(1) Puasa awal Zulhijjah bermula dari 1-8 Zulhijjah.

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitabnya al-Jami' dari hadith sahabi Ibn 'Abbas r.anhuma (no. 767,edisi al-risalah)

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud bahawasanya ' Tiada satu amalan pun yang lebih disukai oleh Allah SWT dalam satu-satu hari berbanding amalan pada 10 awal Zulhijjah.'

Maka para sahabat r.anhum bertanya, " Ya Rasulallah,walaupun jihad di jalan Allah?"

Maka Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud bahawasanya ' Juga bukan jihad di jalan Allah kecuali seorang lelaki yang keluar berperang dengan nyawa dan hartanya dan dia tidak kembali lagi."

Hadith Sahih ini juga telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (no 969),Imam Abu Daud (no 2438), Imam Ibn Majah (no 1727),Imam Ahmad (n0 1968) dan Ibn Hibban (no 324).{kebanyakan penomboran adalah berdasarkan tahqiq Syaikh Syuaib dalam edisi al-Risalah}

Namun,dalam hadith ini tidak dinyatakan amalan puasa.Bahkan hanya disebut amalan-amalan secara umum.Hadith yang menyebut amalan puasa secara khusus telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi juga dalam bab yang sama (n0 768) namun hadith itu telah dinilai cacat oleh para ulama' hadith.Namun,berdasarkan metodologi para ulama' dalam meletakkan hadith dalam kitab-kitab mereka,maka mereka menyimpulkan bahawa amalan puasa disunatkan pada 8 hari pertama bulan Zulhijjah berdasarkan umum hadith pertama di atas,dan hadith kedua yang menyebut amalan puasa secara khusus walaupun ia dhaif.

(2) Puasa pada 9 Zulhijjah bagi yang tidak menunaikan haji.

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dari hadith sahabi Abi Qatadah r.anhu (no 759) bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda bahawasanya ' Puasa pada hari Arafah,aku berharap pada Allah SWT agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan selepasnya.'

Hadith ini juga telah dikeluarkan oleh Imam Muslim (no 1162),Imam Abu Daud (n0 2425,2426),Imam Ibn Majah (no 1730),Imam Ahmad (no 22517) dan Ibn Hibban (no 4642).

Namun begitu,bagi individu yang menunaikan haji,makruh untuk mereka berpuasa pada hari Arafah berdasarkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para ulama' hadith dalam kitab-kitab mereka.

(3) Ibadah Korban pada Hari Raya Korban

Telah maklum akan pensyariatan ibadah korban.Dan pendapat yang masyhur di kalangan majoriti fuqaha' ialah ibadah korban adalah sunnah muakkadah.Saya tidak berniat untuk memanjangkan perbahasan hukum melakukan korban dan perinciannya di kalangan fuqaha'.


'YES' AND 'NO' BAGI YANG INGIN MELAKUKAN IBADAH KORBAN


Berdasarkan hadith Ummil Mu'minin Ummi Salamah r.anha daripada Rasulullah SAW bahawasanya Baginda telah bersabda ' Sesiapa yang telah melihat anak bulan Zulhijjah,dan dia ingin melakukan ibadah korban,maka janganlah dia mengambil sesuatupun dari rambutnya dan kukunya.'

Hadith sahih ini telah dikeluarkan oleh Imam an-Nasaie dalam kitab beliau al-Sunan al-Sughra dalam kitab al-dahaya hadith no 4363.Ia juga telah diriwayatkan oleh Imam Muslim (no 5089-5095),Imam Abu Daud (no 2791),Imam Tirmizi (no 1523) dan Imam Ibn Majah (no 3149&3150).

Berdasarkan hadith di atas,para ulama' telah berbeza pendapat tentang hukum memotong kuku,rambut dan bulu-bulu badan bagi individu yang ingin melakukan ibadah korban.Berdasarkan perbahasan fuqaha' dalam kitab-kitab mereka dapat disimpulkan kepada 3 pendapat utama.

(1) Haram

Ini adalah pendapat Imam Ahmad,Ishaq Ibn Rahawaih,Ibn Musayyab,Daud,Rabi'ah dan sebahagian fuqaha' Syafiiyyah.

(2) Makruh Tanzih

Ini adalah pendapat Imam al-Syafiie dan ashab Imam.Dan ia adalah satu riwayat dari Imam Malik.

(3) Tidak makruh (Mubah)

Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan ini adalah salah satu riwayat dari Imam Malik.


Imam Ibn Qudamah telah membicarakan masalah ini secara panjang lebar dalam kitab beliau al-Mughni.Sebahagian daripada syarah itu telah dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Ibn 'Ali al-Atyubi dalam kitab syarah Nasaie (ms 272 dan seterusnya,jil 33) berserta kalam para ulama' lain seperti Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Saya tidak berniat untuk membentangkan dalil dan cara penghujahan para ulama' dari pelbagai mazhab kerana terdapat pelbagai istilah yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian pembaca.

Saya ingin melompat kepada kesimpulan iaitu pendapat yang mengatakan bahawa tidak makruh adalah tertolak berdasarkan larangan dari hadith di atas.Ini kerana,serendah-rendah martabat larangan ialah makruh.Jadi,apabila telah ada nas dalam sesuatu masalah,maka qiyas tidak boleh lagi digunakan.

Samaada makruh atau haram,kedua-duanya adalah perintah dari syara' agar kita sebagai hamba meninggalkanya.Cuma,kenapa dibahagikan kepada larangan bertaraf makruh dan larangan bertaraf haram,maka ia ada nilainya di sisi fuqaha' dalam membahaskan kaedah dharurat dan hajiat.Dan saya secara peribadi berpendapat dengan pendapat haram dan ini adalah mu'tamad mazhab Imam Ahmad sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab mazhab Ahmad seperti al-Raudh al-Murbi',Kassyaf al-Qina',Syarhul Muntaha dan lain-lain.Bahkan dalam sesetengah kitab seperti Kassyaf al-Qina',ulama' Hanabilah menyarankan pelakunya agar bertaubat kerana melakukan dosa itu dengan menyalahi larangan hadith.Namun,tiada kaffarah atau fidyah yang perlu dibayar oleh sesiapa yang melakukannya.Namun ia tetap berdosa jika tidak bertaubat.Wallahu a'lam.

Dan para ulama' menyatakan boleh untuk melakukan perkara-perkara yang tidak disebutkan dalam hadith tadi seperti memakai wangian,bersetubuh dengan isteri dan lain-lain sebagaimana yang difahami dari umum hadith Ummil Mu'minin Aisyah r.anha dalam Sahih Bukhari.

Dan salah satu hikmah daripada larangan di atas ialah agar seluruh dosa anggota badan kita diampunkan semasa darah binatang korban mula menitik ke bumi.

Wallahu a'lam.



0 comments:

Post a Comment